- Iklan -
Berita

Rayuan KPN, kerajaan berhubung saman Indira Gandhi didengar April 2022

Indira mendakwa KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mahkamah kerana gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya yang kini berusia 13 tahun.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
M. Indira Gandhi mendakwa kesemua defendan telah menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya berlanjutan sehingga hari ini dan suaminya berjaya melarikan diri. Gambar: AP
M. Indira Gandhi mendakwa kesemua defendan telah menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya berlanjutan sehingga hari ini dan suaminya berjaya melarikan diri. Gambar: AP

Mahkamah Rayuan menetapkan 18 April tahun depan untuk mendengar rayuan ketua polis negara (KPN) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka bagi membatalkan saman M. Indira Gandhi berhubung dakwaan gagal menangkap bekas suaminya serta memulangkan anak perempuan yang dilarikan lelaki mualaf itu, 12 tahun lepas.

Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira ketika dihubungi pemberita, berkata tarikh itu ditetapkan oleh timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman ketika pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) hari ini yang turut disertai peguam persekutuan Shazreen Nadia Zulkipli.

KPN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), kementerian dalam negeri (KDN) dan kerajaan memfailkan notis rayuan itu di Mahkamah Rayuan pada 13 Ogos lepas kerana tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 16 Julai.

Pada 16 Julai lepas, hakim Mohd Nazlan menolak permohonan kesemua defendan atas alasan antaranya kes itu tidak nyata dan tidak mampan untuk mewajarkan ia dibatalkan terus sebaliknya harus ditentukan melalui perbicaraan penuh dengan pihak terbabit berpeluang membentangkan kes mereka serta memanggil saksi.

Indira memfailkan saman itu pada 28 Oktober tahun lepas dan menamakan KPN, PDRM, KDN serta kerajaan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Pernyataan tuntutan Indira, 46, mendakwa KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya, Prasana Diksa, yang kini berusia 13 tahun.

Beliau mendakwa kesemua defendan juga berperanan membuat keputusan atau memberikan arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya itu seperti diarah oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.

Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga hari ini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.

Justeru, beliau menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah selain memohon deklarasi bahawa KPN telah melakukan “tort of nonfeasance” atau dengan sengaja tidak mengambil tindakan di pejabat awam manakala PDRM, KDN dan kerajaan bertanggungjawab secara vikarius bagi “tort of nonfeasance” yang dilakukan KPN.