- Iklan -
Berita

Dakwaan kes buli di kem tentera tarik perhatian menteri

Dakwaan kes buli di kem tentera itu tular di media sosial melalui sebuah tangkap layar individu dipercayai abang kepada mangsa.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.
Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Menteri Kanan (Pertahanan) Hishammuddin Hussein memohon individu dipercayai seorang anggota tentera yang didakwa dibuli dalam kem untuk membuat aduan secara peribadi kepadanya.

Dakwaan individu dipercayai abang kepada mangsa dalam bentuk tangkap layar sebuah mesej itu mendapat perhatian Hishammuddin selepas ia tular di media sosial.

“Mohon individu disebalik mesej ini utk DM butiran lebih terperinci terus kepada saya/hubungi pejabat saya segera.

“Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan,” katanya dalam sebuah ciapan Twitter.

Tangkap layar tersebut mendakwa seorang penghuni kem tentera dipukul setiap hari dan diugut menyerahkan wang selain dipaksa membeli barang untuk penghuni senior.

Ia juga mengatakan perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak atasan kem namun hanya diberi hukuman ringan. Pihak polis juga turut mengarahkan untuk aduan dibuat kepada pihak kem selepas perkara itu dilaporkan.

Menurut Hishammuddin, timbalan menterinya diarahkan untuk meneliti perkara itu bagi mengesahkannya sekali gus tindakan akan diambil.

“Jika sahih, tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Kes buli atau dera dalam kalangan anggota badan keselamatan negara pernah menggemparkan negara sebelum ini menerusi kes kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain yang merupakan pegawai kadet laut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Mangsa terkorban selepas dibelasah dan ditekap dengan seterika wap ekoran dituduh mencuri sebuah komputer riba seorang kadet lain.

Pada 3 November, Mahkamah Tinggi memutuskan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.