- Iklan -
Berita

Undi 18 beri kelebihan kepada PN pada PRU15, kata penganalisis

Golongan muda tidak mempunyai sifat setia kepada parti dan lebih tertumpu kepada isu semasa, sekali gus memberi peluang sama rata kepada semua parti politik untuk menang.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi muda mempunyai persepsi tersendiri berhubung politik negara berbanding pengundi lama yang umumnya berpegang dengan politik keluarga dan tradisi.
Pengundi muda mempunyai persepsi tersendiri berhubung politik negara berbanding pengundi lama yang umumnya berpegang dengan politik keluarga dan tradisi.

Penyertaan pengundi usia 18 tahun (Undi 18) dijangka akan lebih menguntungkan Perikatan Nasional (PN) apabila ia dijangka memberi peluang sama rata kepada gabungan gabungan politik baru itu untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata golongan muda tidaklah seperti pengundi lama yang mempunyai pandangan politik keluarga atau politik tradisi.

Sebaliknya, beliau berkata, golongan muda hanya mengutamakan isu semasa dan dijangka akan memberi sokongan kepada pihak yang lebih utamakan hal ehwal mereka.

“Golongan ini lebih utamakan ‘periuk nasi’ masing-masing dan masa depan mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Oleh itu, pihak yang dilihat mampu tawarkan penyelesaian kepada isu yang dihadapi mereka, pastinya akan menjadi pilihan pengundi kategori ini.

“Justeru keadaan ini dilihat sebagai satu ‘permainan adil’ dan PN boleh meraih manfaat dan bersaing dengan BN dan PH secara adil.”

Sementara itu, Penganalisis Politik dari University of Nottingham Asia Research Institute Malaysia, Bridget Welsh, keadaan itu dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlaku baru-baru ini apabila jumlah pengundi muda dilihat beralih dari BN dan PH kepada PN.

“Angka peralihan itu adalah signifikan. Jelas sekali mereka mahukan perubahan dan reformasi,” katanya kepada MalaysiaNow.

“PN adalah gabungan parti politik baru, jadi mungkin mereka ingin berikan peluang dan melihat kemampuan PN.”

Dalam pada itu, Hisommudin dan Welsh menyifatkan pengundi muda terutama mereka yang tergolong dalam Undi 18 sebagai “game changer” atau penentu kepada PRU15.

Mereka berkata, kehadiran pengundi baru ini dijangka akan “memeriahkan” suasana PRU15 apabila sokongan yang bakal ditunjukkan golongan tersebut sukar diramal sekali gus mampu mencetus ketidaktentuan.

Welsh berkata, ia kerana golongan ini tidak mempunyai sifat setia kepartian dan lebih menumpukan kepada isu “bread and butter”.

“Golongan muda sudah bosan dengan politik, mereka inginkan reformasi dan lebih utamakan ‘periuk nasi’ masing-masing. Keadaan ini pastinya akan mengubah fenomena PRU seterusnya.

“Contohnya, jika lihat kepada isu 1MDB, ramai golongan muda memberikan reaksi yang berbeza pada 2018 berbanding sekarang, ini antara yang mendorong kemenangan PH, namun kini keadaan dilihat berbeza,” katanya.

Hisommudin berkata, sekiranya berlaku peralihan undi golongan ini kepada mana-mana gabungan parti politik, maka blok itu sudah hampir memiliki kemenangan.

“Pengundi muda merangkumi lebih separuh daripada jumlah pengundi keseluruhan di Malaysia, jadi undi mereka sangat penting,” katanya.

Tambah beliau, parti politik kini dilihat perlu menggunakan pendekatan baru dan tidak boleh bergantung dengan berkempen cara lama untuk meraih undi golongan tersebut.

“Tidak boleh hanya gunakan bahan kempen yang lepas dan perlu teroka trend baru,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.