- Iklan -
Berita

Vaksinasi, SOP cukup untuk melawan varian Omicron setakat ini, kata pakar

Masih banyak yang belum diketahui mengenai VOC terbaru Covid-19, namun dunia harus bersedia dengan segala kemungkinan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Penumpang penerbangan antarabangsa memakai pelitup muka dan pakaian lengkap pelindung bagi mengelak jangkitan varian Covid-19 Omicron di KLIA. Gambar: Bernama
Penumpang penerbangan antarabangsa memakai pelitup muka dan pakaian lengkap pelindung bagi mengelak jangkitan varian Covid-19 Omicron di KLIA. Gambar: Bernama

Varian Covid-19 Omicron yang mencetuskan kebimbangan seluruh dunia baru-baru ini selepas dikesan di lebih 23 negara masih boleh ditangani sekiranya vaksinasi digiatkan dan pematuhan SOP dilakukan, kata pakar kesihatan.

Dr Salvatore Chirumbolo, ahli biokimia klinikal dari Universiti Verona di Itali bagaimanapun berkata varian ini tidak kelihatan berbahaya dari segi kadar kematian.

“Ia berjangkit dengan cepat namun hanya mengakibatkan jangkitan pada paras sederhana yang boleh diatasi dengan terapi dari rumah tanpa hospitalisasi,” katanya kepada MalaysiaNow.

Varian membimbangkan itu didedahkan penyelidik Afrika Selatan minggu lalu, mengakibatkan beberapa negara termasuk Malaysia menutup pintu sempadan kepada pengembara dari negara itu.

Meskipun tiada varian Omicron dilaporkan di Malaysia, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan Malaysia buat sementara waktu tidak akan membenarkan pengembara dari negara-negara yang sudah dilaporkan mempunyai varian Omicron, termasuk lapan negara Afrika, termasuk Afrika Selatan.

Beberapa hari lepas, dua pengembara menaiki penerbangan dari Afrika Selatan dan transit di Singapura dikesan positif varian itu.

Omicron menjadi kegusaran pakar-pakar kesihatan kerana varian itu dilaporkan mempunyai lebih sedozen mutasi yang berpotensi mengelak vaksin dan menjadi kebal daripada antibodi.

Malaysia sudahpun menangguhkan peralihan daripada pandemik ke endemik akibat penularan varian tersebut.

Musim perayaan dan pelancongan pada hujung tahun juga menambahkan kebimbangan kepada risiko penyebaran varian itu ke negara ini, apatah lagi Sarawak bakal menyaksikan pilihan raya negeri pada pertengahan bulan ini.

Bahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menzahirkan kegusaran baginda terhadap mutasi varian itu.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Zainal Ariffin Omar berkata ketika ini masih belum ada maklumat lengkap mengenai ciri-ciri klinikal varian itu, namun katanya mengenakan sekatan terhadap pengembara dari negara berisiko merupakan satu langkah proaktif dan berhati-hati dilakukan kerajaan.

“Saya tidak nampak ada keperluan perintah kawalan pergerakan dalam masa terdekat,” katanya kepada MalaysiaNow.

“SOP dan vaksinasi masih cukup buat sementara waktu.”

Beliau turut menasihati orang ramai untuk tidak terlibat dalam perhimpunan sesak atau keluar negara, selain mengambil dos penggalak.

Menerangkan mengenai varian itu, pakar virologi Dr Yahya Mat Arip memberitahu, Omicron mempunyai 50 mutasi yang menjadikannya lebih berbahaya daripada Delta yang masih tersebar di negara ini.

“Jumlah mutasi bukan bermakna akan jadi lebih berbahaya. Mutasi pada struktur protein pepaku yg membimbangkan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kalau delta lebih kurang 10 mutasi dari jumlah mutasi berlaku pada protein pepaku. Tetapi tidak semestinya mutasi di pepaku akan menyebabkan lebih bahaya.

“Setakat ini tiada maklumat yang menyokong omicron mampu menyebabkan penyakit lebih teruk atau mengelakkan vaksin sedia ada.”

Yahya turut bersetuju bahawa masa untuk perintah kawalan pergerakan (PKP) sepenuhnya sudah berlalu memandangkan negara sudah tidak mampu menghadapi satu siri penutupan ekonomi.

“Kita kena bergantung kepada SOP pencegahan dan vaksin. Tapi agak malang, pematuhan SOP semakin hari semakin longgar.

“Begitu juga dengan dos penggalak, sekali lagi agak malang apabila lebih 40% janji temu dos penggalak tidak dipatuhi,” katanya.

Chirumbolo berkata, meskipun beliau gusar dengan prospek perintah berkurung lagi, katanya pendekatan harus berubah kepada pengesanan kontak hanya terhadap individu simptomatik, dan bukannya mereka yang tidak dijangkiti.

Felo Kanan Akademi Sains Malaysia, Dr Lam Sai Kit sebelum ini menggesa Malaysia menyertai usaha global dalam berkongsi sekuen genom varian-varian baharu kepada pangkalan data awam seperti GISAID dan melaporkan kemunculan varian kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Kita masih tidak tahu tahap bahaya Omicron, dan sama ada prosedur diagnostik sedia ada menggunakan PCR dan kit ujian antigen masih berkesan dengan baik,” katanya.

“Dalam masa beberapa minggu, lebih banyak butiran Omicron akan diketahui, seterusnya kita boleh menyesuaikan respon. Sehingga itu, Malaysia dan dunia mesti bersedia untuk senario terburuk.”