- Iklan -
Berita

Kempen bersemuka dilarang pada PRN Sarawak, kecuali DUN kurang liputan internet

Hanya penduduk yang tinggal di kampung atau rumah panjang sahaja dibenarkan hadir ketika kempen bersemuka dijalankan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas SPR menyiapkan pentas bagi hari penamaan calon yang akan diadakan esok. Gambar: Bernama
Petugas SPR menyiapkan pentas bagi hari penamaan calon yang akan diadakan esok. Gambar: Bernama

Kempen secara fizikal atau bersemuka melalui ceramah dan syarahan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan hanya dibenarkan di 64 kawasan yang dikenal pasti mempunyai akses internet yang rendah.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kawasan-kawasan terlibat termasuk: Omar, Tasik Biru, Tanjong Datu, Asajaya, Muara Tuang, Stakan, Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup, Bukit Semuja, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong, Sebuyau, Lingga, Beting Maro, Balai Ringin, Bukit Begunan, Simanggang, Engkilili, Batang Ai, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka, Krian, Kabong, Kuala Rajang, Semop, Daro, Jemoreng, Repok, Meradong, Pakan, Meluan, Ngemah, Machan, Dudong, Bawang Assan, Dalat, Tellian, Balingian, Tamin, Kakus, Pelagus, Katibas, Bukit Goram, Baleh, Belaga, Murum, Jepak, Kemena, Samalaju, Bekenu, Lambir, Marudi, Telang Usan, Mulu, Bukit Kota, Batu Danau, Ba’Kelalan dan Bukit Sari.

Penganjur parti, setiausaha, calon dan penceramah mesti mengambil ujian kendiri RTK-Antigen Covid-19 sebelum acara, dan hanya individu yang telah menerima vaksin dibenarkan hadir.

Sementara itu, kehadiran hanya dihadkan kepada 50% daripada kapasiti premis atau maksimum 150 orang pada satu-satu masa.

Hanya penduduk yang tinggal di kampung atau rumah panjang sahaja dibenarkan hadir, dengan mewajibkan pihak penganjur memastikan orang luar tidak terlibat dalam acara yang dianjurkan.

Prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu dan pengimbasan kod QR atau daftar masuk manual turut wajib dipastikan oleh penganjur.

Selain itu, setiap sesi ceramah mesti dihadkan selama dua jam dan tidak boleh diteruskan selepas 10 malam.

Kuliah atau ceramah di kawasan terbuka atau awam turut tidak dibenarkan, sementara sebarang bentuk hiburan semasa kempen juga dilarang dan makanan yang disediakan mesti dibungkus terlebih dahulu.

PRN Sarawak berlangsung pada 18 Disember depan.

Hari penamaan calon dijadualkan pada 6 Disember, dengan 12 hari tempoh berkempen diberikan SPR.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi