Peluang ahli Parlimen Bandar Kuching dari DAP Dr Kelvin Yii untuk merampas kerusi Batu Kawah disandang SUPP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bulan ini akan bergantung kepada peratusan keluar mengundi, kata seorang penganalisis politik ketika parti-parti politik mula mengumumkan calonnya.
Bercakap kepada MalaysiaNow, James Chin dari Universiti Tasmania, Australia berkata Yii mungkin berpeluang menjatuhkan Dr Sim Kui Hian dari SUPP jika kadar peratusan keluar mengundi tinggi pada 18 Disember nanti.
“Sekiranya peratusan keluar mengundi tinggi maka DAP mempunyai peluang cerah kerana Yii cukup popular sebagai ahli Parlimen Bandar Kuching,” katanya.
Beliau turut menyifatkan langkah DAP meletakkan Yii di Batu Kawah sebagai strategi yang baik dalam usaha untuk menarik pengundi muda.
“Dia boleh memanfaatkan popularitinya untuk mendekati pengundi Batu Kawah,” katanya.
Bagaimanapun, Chin mengingatkan supaya parti itu tidak mengambil mudah terhadap Sim yang merupakan presiden SUPP kerana beliau juga mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.
Batu Kawah, satu daripada tujuh kerusi majoriti Cina di Kuching, secara tradisinya ditandingi oleh SUPP.
Pada 2011, ia dimenangi Christina Chiew dari DAP sebelum Sim kembali merampas kerusi itu pada 2016, memenangi pertembungan tiga penjuru, antara beliau, Chiew dan calon bebas Liu Thian Leong.
Menurut statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini, seramai 20,681 orang layak mengundi di Batu Kawah pada PRN akan datang.
Sebanyak 71% daripada mereka berumur antara 30 dan 59 tahun manakala 22% adalah warga emas berusia melebihi 59 tahun dan 9% lagi berusia 20 hingga 29 tahun.
Bagi menyingkirkan Sim, Yii perlu bergantung dengan popularitinya terutama dalam kalangan pengundi yang berada dalam lingkungan usia 30 hingga 59 tahun.
Chin berkata Yii mempunyai kelebihan dari segi umur kerana dia adalah calon yang lebih muda.
“Beliau berkemungkinan akan dapat menarik pengundi muda,” katanya.
Bagaimanapun, beliau percaya saingan sengit akan berlaku dalam perebutan kerusi tersebut, meramalkan pertandingan berbilang penjuru membabitkan tujuh hingga lapan calon.
“Sekurang-kurangnya, kita mungkin lihat pertarungan empat atau lima penjuru, tetapi saya rasa akan ada lebih banyak lagi,” kata Chin.
“Pertembungan mungkin sampai hingga tujuh atau lapan penjuru di Batu Kawah.”
Buat masa ini, katanya, ia akan menjadi satu permainan “tunggu dan lihat” kerana belum semua parti mengumumkan calon mereka bagi PRN itu.
“Kita kena lihat berapa ramai yang akan bertanding di Batu Kawah dan apakah kredibiliti mereka kerana ia bergantung sama ada mereka boleh tarik undi pembangkang,” katanya.
“Jika ia adalah pertarungan satu lawan satu antara Sim dan Yii, saya akan katakan ia sangat sangat sukar untuk diramalkan. Sebelum kita tahu senarai penuh calon, masih terlalu awal untuk ramalkan perkara ini.”
Berhubung strategi Yii dalam menghadapi pilihan raya, Chin berkata calon DAP itu jelas mengatakan keutamaan beliau adalah menangani situasi Covid-19 di Sarawak.
“Itulah sebabnya ada pertandingan doktor lawan doktor,” tambahnya.
PRN Sarawak akan diadakan pada 18 Disember.
Hari penamaan calon dijadualkan pada 6 Disember dengan peruntukan 12 hari untuk berkempen.
Selain Batu Kawah, kerusi panas lain pada PRN Sarawak kali ini adalah Batu Lintang, Pending, Kota Sentosa, Stakan, Batu Kitang, selain Bawang Assan dan Dudong yang terletak di Sibu.