- Iklan -
Berita

Tidak cukup peruntukan RM4.8 bilion untuk cipta pekerjaan, kata pakar

Mereka berkata skim JaminKerja dan NJCSP Putrajaya memerlukan penelitian lanjut.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pekerja mengangkat stok bungkusan barangan niaga dan menyimpan di sebuah kedai terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Pekerja mengangkat stok bungkusan barangan niaga dan menyimpan di sebuah kedai terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Beberapa pakar menggesa kerajaan menumpukan perhatian kepada usaha mewujudkan pekerjaan setimpal dan bergaji tinggi berbanding peluang pekerjaan dengan bayaran rendah dengan pemberian bantuan tunai, susulan pengumuman pelan mewujudkan pekerjaan Putrajaya dalam Belanjawan 2022 serta Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP).

Dengan peruntukan RM4.8 bilion, pelan penciptaan pekerjaan yang dikenali sebagai Jamin Kerja Keluarga Malaysia atau JaminKerja itu bertujuan mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan – sesuatu yang amat diperlukan ramai penganggur yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Ahli ekonomi Geoffrey Williams bagaimanapun mempersoalkan sejauh mana peruntukan itu akan dapat diperluaskan kumpulan sasaran.

“Peruntukan itu sama dengan RM8,000 bagi setiap pekerjaan selama setahun, atau RM667 sebulan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jumlah itu tidak cukup untuk cipta pekerjaan baru namun ia boleh digunakan untuk melanjutkan subsidi gaji bagi membantu majikan kekalkan pekerja sedia ada.”

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran semasa ialah 4.6%, bersamaan kira-kira 748,000 individu tidak mempunyai pekerjaan.

Williams berkata pendekatan yang lebih berkesan ialah melaksanakan skim cukai pendapatan negatif untuk pekerja dan syarikat bagi menggalakkan orang ramai bekerja.

“Dalam skim ini, orang yang bekerja tetapi berpendapatan di bawah nilai ambang pendapatan isi rumah mungkin boleh mendapat kredit cukai bagi menambah nilai pendapatan mereka,” katanya.

“Jadi mereka dapat insentif untuk bekerja dan mencari kerja, walaupun bergaji rendah, mereka mungkin boleh menambah pendapatan.”

NJCSP yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada September lalu, bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja yang lebih berdaya tahan dan berkemahiran tinggi dengan enam pelan teras: meningkatkan kerjasama industri-akademik, memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri, memperkasakan usahawan tempatan untuk berkembang maju dalam situasi ekonomi semasa, memanfaatkan ekonomi gig bagi mencari peluang menjana pendapatan, meningkatkan pertumbuhan sektor baru dan moden, dan menyegerakan penerapan amalan tempat kerja yang moden.

Shahryn Azmi, pengasas dan pengarah eksekutif portal MakeTimePay, berkata dari enam pelan teras itu, hanya yang pelan keempat sahaja yang dianggap “bermakna” manakala baki lima lainnya tidak mengandungi perkara yang baru atau mampu mencapai keputusan pantas dalam menyelesaikan isu pengangguran.

“Mengurangkan pengangguran dengan memberi subsidi gaji yang dibayar oleh syarikat pada asasnya merupakan perkara yang paling banyak beri manfaat daripada semua inisiatif yang dilakukan kerajaan setakat ini, tetapi ia perlu dilihat sebagai satu langkah untuk hentikan jurang pendapatan makin luas,” katanya.

“Pada saat bantuan kewangan ditarik balik, jika tidak ada alasan cukup untuk majikan kekalkan pekerjanya, tekanan ke atas perniagaannya untuk membuang pekerja akan kembali.”

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata penggubal dasar dan eksekutif korporat masih belum menggunakan sepenuhnya skop perkhidmatan yang boleh dilakukan sektor gig menjangkaui khidmat penghantaran makanan dan perkongsian perjalanan.

“Masalahnya ialah sifat kerja yang berubah dengan cepat. Ekonomi berubah dan semuanya perubahan itu berlaku lebih cepat daripada apa yang dapat fahami sebagai sebuah negara.

“Sebelum kita anggap ini sebagai dasar reaktif yang lahir disebabkan keadaan ekonomi yang terdesak, pertimbangkan fakta sebuah kajian penyelidikan yang menunjukkan bahawa menjelang 2025, empat tahun dari sekarang, separuh daripada keseluruhan tenaga kerja di Amerika Syarikat (AS) akan diambil bekerja secara gig,” katanya.

Amanda Yeo, seorang penganalisis badan pemikir Emir Research berkata sudah tiba masa untuk kerajaan menekankan pembangunan bakat Gen Z dan milenium.

“Dengan mengutamakan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi, anak muda Malaysia boleh mencari pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan akademik dan tahap pendapatan yang diinginkan.

“Mereka juga mungkin tidaklah akan cari kerja lebih baik di luar negara jika mereka berpuas hati dengan pekerjaan sekarang,” katanya.

Angka DOSM juga menunjukkan kebanyakan pekerjaan yang dicipta adalah dalam kategori separa mahir.

Statistik bagi suku ketiga 2021 mendedahkan sebanyak 9,300 pekerjaan separa mahir diwujudkan, diikuti 4,500 peluang pekerjaan mahir dan 1,200 pekerjaan berkemahiran rendah.

Yeo berkata walaupun kerajaan perlu terus mewujudkan lebih banyak pekerjaan sepenuh masa untuk belia, inisiatif juga mesti disediakan untuk mengurangkan kemungkinan mereka mencari peluang menjana wang melalui aktiviti tidak formal.

Sementara itu, Williams berkata skim penciptaan pekerjaan jarang dapat membuktikan kejayaan di mana-mana negara.

“Cara fikir begitu salah,” katanya.

“Ia hanya berikan subsidi kepada pekerjaan bergaji rendah atau beri latihan jangka pendek dan bukannya beri tumpuan kepada pelaburan dalam bentuk baru aktiviti bernilai tinggi.

“Perkara-perkara ini hanya boleh dilakukan apabila ekonomi dibuka dan mulai pulih. Jadi, usaha menamatkan sekatan, membuka ekonomi sepenuhnya, dan kembali normal masih menjadi keutamaan ketika ini, dan kita tidak boleh secara sewenang-wenangnya sewaktu berdepan varian Omicron,” tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.