- Iklan -
Berita

Ali Biju akan pertahan DUN Krian sebagai bebas

Ali Biju sebagai penyandang mahu mempertahankan kerusi Krian ketika partinya, Bersatu tidak menyertai PRN Sarawak secara rasmi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian Ali Biju bertanding sebagai calon Bebas dalam usaha mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Ahli Parlimen Saratok berusia 53 tahun itu memenangi DUN Krian ketika bersama PKR pada 2011 dan 2016.

Teka-teki sama ada timbalan menteri tenaga dan sumber asli itu akan mempertahankan kerusi tersebut akhirnya terjawab apabila beliau hadir di pusat penamaan calon (PPC) di Dewan Masyarakat Sri Krian sebagai calon Bebas menggunakan logo kerusi.

Beliau yang juga ahli Bersatu hadir pada jam 9.02 pagi di dewan tersebut seterusnya menyempurnakan proses pencalonan.

Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Krian Bilong Engkas mengumumkan pertandingan di kerusi itu melibatkan tiga lagi calon iaitu Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Danny Kuan dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik.