- Iklan -
Berita

AS kecam ‘sabitan tidak adil’ terhadap Suu Kyi

AS turut menggesa Suu Kyi dan pegawai-pegawai lain yang dilantik melalui pilihan raya umum lalu dibebaskan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Amerika Syarikat Antony Blinken. Gambar: AP
Setiausaha Amerika Syarikat Antony Blinken. Gambar: AP

Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menyelar “sabitan tidak adil” terhadap pemimpin Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi dan menggesa beliau dan pegawai-pegawai lain yang ditahan dibebaskan.

“Sabitan tidak adil rejim tentera Myanmar terhadap Aung San Suu Kyi dan penindasan ke atas pegawai lain yang dipilih dalam pilihan raya telah menghina demokrasi dan keadilan di Burma.

“Tindakan rejim itu terus tidak menghiraukan kedaulatan undang-undang dan penggunaan kekerasan yang meluas terhadap rakyat Myanmar menunjukkan perlunya demokrasi Myanmar dipulihkan dengan segera,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Setiausaha AS Antony Blinken.

Terdahulu pada Isnin, mahkamah tentera Myanmar menjatuhkan hukuman penjara empat tahun atas tuduhan melanggar sekatan Covid-19 dan menghasut ke atas Suu Kyi, pemenang Hadiah Nobel Keamanan.

Blinken menggesa Myanmar membebaskan Suu Kyi dan “semua yang ditahan secara tidak adil, termasuk pegawai lain yang dipilih secara demokrasi”.

“Kami mengulangi gesaan kami agar rejim terlibat dalam dialog yang konstruktif dengan semua pihak untuk mencari penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat, seperti dipersetujui dalam Konsensus Lima Perkara Asean,” kata Blinken.

Pada 1 Februari, junta tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa selepas mendakwa wujud penipuan dalam pilihan raya umum November 2020 dan ketegangan politik di negara itu.

Tentera menahan pemimpin dan pegawai parti pemerintah Liga Demokrasi Kebangsaan, termasuk pemimpin de facto Aung San Suu Kyi, dan mengisytiharkan darurat selama setahun.

Menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP) di Myanmar, lebih 1,100 orang dibunuh dan lebih 9,000 penunjuk perasaan ditangkap akibat kekerasan junta tentera selepas penggulingan Suu Kyi.