Kementerian kesihatan (KKM) akan memastikan akses perubatan mencukupi kepada bekas pesakit Covid-19 yang mempunyai komplikasi atau dijangka mengalami komplikasi “long Covid”.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata mereka yang dikenal pasti akan diberi janji temu sejurus dibenarkan keluar dari hospital di fasiliti kesihatan dan klinik pakar yang bersesuaian dengan diagnosis terakhir mereka.
“Begitu juga yang mempunyai komorbid, mereka akan diminta membuat rawatan susulan di fasiliti kesihatan seperti sebelum mereka dijangkiti Covid, sekiranya mereka tidak mempunyai jadual rawatan susulan, mereka akan diberi janji temu ke pakar tertentu,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang meminta menteri kesihatan menyatakan langkah yang diambil untuk memastikan bekas pesakit positif Covid-19 yang mengalami “long Covid” mendapat akses perubatan yang mencukupi di seluruh negara dan adakah KKM mempunyai data mengenai jumlah “long Covid’ melebihi 12 minggu setakat Oktober tahun ini.
Dr Noor Azmi berkata bekas pesakit Covid-19 juga boleh mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan awam atau swasta yang berhampiran secara jumpa terus sekiranya mempunyai sebarang gejala, manakala yang mengalami gejala yang semakin teruk semasa dalam tempoh pemantauan dan memerlukan rawatan segera, akan dimasukan ke hospital untuk rawatan lanjut.