- Iklan -
Berita

Pemain industri gusar menunggu reaksi kerajaan terhadap varian Omicron

Mereka menyuarakan kebimbangan sekiranya lebih banyak sekatan pergerakan penuh dan penutupan sempadan dilaksanakan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pemain industri berharap tiadak sekatan secara besar-besaran dalam sektor ekonomi seperti sebelum ini jika kerajaan melaksanakan langkah-langkah dalam membendung penularan varian Omicron.
Pemain industri berharap tiadak sekatan secara besar-besaran dalam sektor ekonomi seperti sebelum ini jika kerajaan melaksanakan langkah-langkah dalam membendung penularan varian Omicron.

Pemain industri tempatan di seluruh negara bersiap sedia untuk berdepan keadaan terburuk susulan kemunculan varian baru Covid-19 walaupun masih banyak tanda tanya tidak terjawab mengenai varian Omicron itu.

Ketika mereka masih berusaha untuk bangun semula selepas berbulan menjalani perintah kawalan pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan, ramai yang bimbang kenaikan mendadak kes Covid-19 akan menamatkan pemulihan keadaan ekonomi mereka.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata, syarikat dan perniagaan akan menilai semula perancangan aktiviti di tempat kerja.

“Banyak syarikat merancang strategi untuk bertindak balas kepada Omicron namun memerlukan lebih banyak data yang berasas sebelum mengambil apa-apa tindakan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Malaysia mencatatkan kes pertama varian membimbangkan itu di Perak pada 3 Disember membabitkan seorang pelajar asing yang memasuki negara dari Singapura pada 19 November.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 28 November menyatakan masih belum jelas sama ada jangkitan akibat Omicron lebih berpotensi untuk menyebarkan virus Covid-19 dengan lebih berbahaya berbanding varian-varian lain termasuk Delta.

Ekoran penularan Omicron, beberapa negara mengenakan sekatan perjalanan.

Tindakan itu turut dikenakan Malaysia ke atas pelawat dari beberapa negara Afrika dan Eropah yang terdedah dengan risiko varian Omicron.

Ketidaktentuan mengenai Omicron bagaimanapun boleh menjejaskan pembukaan ekonomi selepas berbulan-bulan menghadapi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Tidak banyak yang diketahui mengenai Omicron, bahkan varian itu memberi cabaran kepada pakar-pakar kesihatan awam.

Syed Hussain berkata semua pihak tidak seharusnya membuat rumusan paling buruk, namun penting untuk berhadapan dengan Omicron sebagai satu ancaman yang perlu ditangani dengan serius.

“Syarikat perlu menunggu lebih banyak maklumat dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk mengkaji lebih lanjut mengenai Omicron dan menimbangkan bagaimana ia akan memberi kesan kepada perniagaan dan pekerja,” katanya.

Dengan ancaman Omicron, beliau berkata majikan akan mengambil sikap berhati-hati dalam mengambil pekerja baru dan ia bakal merencat usaha meningkatkan pekerjaan pada bulan ini.

Namun katanya senario ini diharapkan berubah pada tahun depan menerusi program jaminan kerja kerajaan.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan pakar-pakar kesihatan menyatakan bahawa vaksinasi dan SOP sudah cukup untuk menentang varian Omicron.

Dr Lam Sai Kit, felo kanan Akademi Sains Malaysia berkata, negara mampu untuk mengelakkan senario terburuk berikutan kadar vaksinasi yang tinggi, selain golongan anti-vaksin yang tidak terlalu vokal.

“Meskipun larangan rentas negeri ditarik semula, pembukaan sekolah dan ekonomi dan kembalinya norma kehidupan seperti biasa, kes positif di Malaysia kekal pada tahap sama,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau turut menyeru orang ramai kekal tenang berikutan kemasukan varian Omicron pada tahun ini.

Katanya lebih banyak maklumat mengenai Omicron akan diterima pada minggu-minggu akan datang.

Walaupun SOP sedia ada cukup untuk berhadapan dengan Omicron, katanya rakyat sudah lesu dengan pematuhan SOP seperti memakai topeng, penjarakan fizikal, duduk di rumah, mengelak daripada perkumpulan atau kawasan tertutup.

“Kita sudah pun melihat tentangan terhadap kaedah-kaedah ini di luar negara, di situlah terletaknya bahaya peningkatan kes Covid, tambahan pula musim salji bakal tiba,” katanya merujuk kepada demonstrasi dan protes terhadap langkah pencegahan Covid-19 di negara-negara Barat.

Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai berkata meskipun pihaknya mengakui kebimbangan pihak berkuasa terhadap kehadiran varian baru itu, pihak industri pembuatan mengharapkan agar tiada penutupan ekonomi berskala besar seperrti dahulu, manakala usaha mengembalikan perniagaan kepada tahap yang mampan akan menjadi sia-sia.

“Walau bagaimanapun, FMM akan menyokong sebarang keperluan untuk kawalan yang disasarkan sekiranya terdapat sebarang lonjakan jangkitan akibat varian baharu ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sekiranya perlu ada sekatan bersasar, maka FMM memerlukan garis panduan dan SOP yang sangat jelas mengenai operasi yang dibenarkan, selain bantuan berterusan daripada kerajaan dalam bentuk subsidi gaji dan moratorium pinjaman bagi menampan tempoh tidak beroperasi.”

Syed Hussain turut berharap agar tiada lagi perintah berkurung atau larangan rentas negeri diadakan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.