Ahli Parlimen Saratok Ali Biju menarik diri bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian susulan rasa tidak senang yang dilahirkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap Bersatu yang setuju untuk tidak bertanding dalam pilihan raya Negeri (PRN) tersebut.
Ali yang sebelum ini mencalonkan diri untuk bertanding sebagai calon bebas, berkata beliau sedar keputusannya itu menjejaskan hubungan antara Bersatu dan GPS.
“Saya mendapat nasihat dari pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada Muhyiddin Yassin, pengerusi Perikatan Nasional mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati antara Perikatan Nasional dan Abang Johari Openg selaku pengerusi GPS.
“Saya dengan rendah hati dan niat yang tulus ikhlas menarik diri sebagai calon DUN Krian dan memberi dukungan penuh kepada calon GPS, Friday Belik,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Ali yang memenangi kerusi DUN Krian atas tiket PKR pada 2011 dan 2016 mahu mempertahankan kerusi itu buat penggal ketiga dalam pertembungan empat penjuru melawan Friday, Danny Kuan dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Musa Dinggit dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Bagaimanapun Abang Johari melahirkan rasa kecewa beliau terhadap keputusan Ali tersebut, mengatakan ia bercanggah dengan janji Bersatu yang berkata ahli-ahlinya tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak.
Pada 27 November, Muhyiddin yang merupakan presiden Bersatu berkata partinya tidak akan meletakkan calon bagi menghormati permintaan kepimpinan GPS.
Beliau turut berkata keputusan Bersatu untuk tidak bertanding kerana ia percaya GPS memiliki kemampuan untuk menang PRN Sarawak.