- Iklan -
Berita

‘i-Sinar’ carian tertinggi dalam Google Malaysia tahun ini

Lima daripada 10 terma carian paling tinggi berkaitan dengan bantuan kewangan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pengurus Komunikasi Google Malaysia Nadia Khan berkata, carian itu memberi gambaran mengenai keadaan kewangan rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Gambar: Pexels
Pengurus Komunikasi Google Malaysia Nadia Khan berkata, carian itu memberi gambaran mengenai keadaan kewangan rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Gambar: Pexels

Bantuan kewangan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), “i-Sinar” menjadi terma carian paling tinggi rakyat Malaysia tahun ini, diikuti kejohanan bola sepak “Euro 2021” dan permainan dalam talian “Popcat”, menurut Google Malaysia hari ini.

Dalam satu senarai 10 carian trending yang dikeluarkan Google Malaysia, lima antaranya membabitkan bantuan kewangan yang diperkenalkan kepada rakyat semasa pandemik Covid-19.

Carian tertinggi itu berbeza pada tahun lalu yang mana Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat antara Joe Biden dan Donald Trump menjadi carian paling tinggi di Malaysia.

Pengurus Komunikasi Google Malaysia Nadia Khan berkata, carian itu memberi gambaran mengenai keadaan kewangan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

i-Sinar diperkenalkan KWSP pada hujung tahun lepas bagi membenarkan pemohon yang layak mengeluarkan wang daripada akaun 1 sebanyak RM10,000.

“i-Citra”, satu lagi program di bawah KWSP menduduki tempat keempat, diikuti “Bantuan Rakyat Prihatin”.

“EPL” atau liga Perdana Inggeris dan “Google Meet” menduduki tempat keenam dan ketujuh manakala “i-Akaun”, “Bantuan Prihatin Nasional” dan “Squid Game” menduduki tiga tempat terakhir.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada Mac tahun ini memaklumkan, pengeluaran i-Sinar berjumlah sebanyak RM 52.48 bilion diluluskan kepada 5.94 juta pemohon.

Dalam kategori carian berkaitan Covid-19, laman web “CIMS 3.0” yang dikendalikan kementerian perdagangan antarabangsa dan industri menduduki tempat pertama.

Laman itu membolehkan pendaftaran syarikat yang ingin beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Carian mengenai Covid-19 juga menunjukkan kesedaran rakyat tentang vaksin apabila lima daripada 10 carian tertinggi membabitkan vaksinasi, manakala empat lagi carian membabitkan PKP.

Malaysia melaksanakan 3 edisi PKP bermula Mac tahun lalu bertujuan mengekang penyebaran wabak Covid-19.

Ia termasuk penutupan sempadan, larangan rentas negeri dan penutupan majoriti sektor sosial dan ekonomi.

Penutupan sekolah berikutan PKP dan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam dari rumah menyebabkan topik pendidikan menjadi antara yang terhangat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menerusi kategori itu, “Google Classroom” menduduki tempat pertama carian, diikuti “Blooket”, “DeLIMa KPM” dan “Liveworksheets”.

Topik hangat lain menurut Google Malaysia ialah berita semasa dan sukan.

Meskipun Malaysia melalui krisis politik pada tahun ini yang menyaksikan peletakan jawatan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, politik bagaimanapun, tidak tersenarai sebagai topik carian yang mendapat perhatian rakyat Malaysia.

“Kalau ada mengenai politik, kami sudah masukkan.

“Namun fokus tahun ini ialah Covid-19, berita, sukan dan pembelajaran. Kami tidak menapis terma carian,” tambah Nadia.

(If there is anything on politics, we would have included it. But the focus is on Covid, news, sports and learning. We don’t filter the search terms at all,)

Data carian dikumpul bermula Januari hingga November.

Bagi kategori berita topikal, siri Netflix “Squid Game” menduduki tempat pertama, diikuti “Palestin”, “Sugarbook”, “Ivermectin” dan “PKPD”.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.