- Iklan -
Berita

Hikmah baik dan buruk pandemik terhadap perkembangan kanak-kanak

Walaupun sekatan pergerakan menyebabkan ibu bapa lebih rapat dengan mereka, namun langkah pembendungan pandemik turut memberikan kesan buruk kepada anak.

Danisyah Dalily
3 minit bacaan
Kongsi
Penggunaan peranti pintar yang melampau pada peringkat awal dalam kalangan kanak-kanak boleh mengganggu perkembangan sosial mereka.
Penggunaan peranti pintar yang melampau pada peringkat awal dalam kalangan kanak-kanak boleh mengganggu perkembangan sosial mereka.

Ketika pelbagai sekatan pergerakan dilaksanakan di seluruh negara berikutan pandemik Covid-19 menjejaskan sektor sosial dan ekonomi, ia juga turut memberikan hikmah lain dalam bentuk meningkatnya kesedaran mengenai gangguan perkembangan kanak-kanak.

Ketika kehidupan sebelum pandemik, ibu bapa yang sibuk bekerja dan perlu menyelesaikan tanggungjawab lain dan tidak membolehkan mereka meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak.

Namun, akibat terpaksa duduk di rumah di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19, ramai ibu bapa yang menyedari anak-anak mereka mungkin memerlukan bantuan, kata seorang ahli psikologi di Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia.

Hal ini, menurut Lee Beewah, adalah satu titik perubahan kepada ramai orang.

“Pandemik menyebabkan ibu bapa lebih berhati-hati dalam meneliti tingkah laku anak-anak mereka berbanding sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sebelum ini, ramai ibu bapa tiada waktu bersama anak-anak kerana mereka bekerja. Namun kerana kita semua terpaksa duduk di rumah sepanjang pandemik, mereka dapat lihat sesuatu yang tidak kena mengenai anak-anak mereka.”

Walaupun pandemik menyebabkan sebahagian ibu bapa dapat mengesan perkara itu dan membolehkan mereka mendapatkan intervensi awal.

Sementara sebahagian yang sudah pun bergelut dengan diagnosis gangguan perkembangan anak-anak menyebabkan kesukaran yang mereka hadapi bertambah ekoran terpaksa menghadapi krisis Covid-19.

Hal ini sangat dirasai terutama dalam kalangan kanak-kanak autistik yang sangat terkesan akibat pelaksanaan beberapa kekangan ekoran pandemik.

Walaupun situasi mereka mungkin dapat diuruskan ketika awal pandemik melanda negara tahun lalu, namun setelah hampir dua tahun pelaksanaan pelbagai sekatan dan PKP, Lee berkata kesan-kesan isolasi atau keterasingan menjadi semakin menonjol.

“Ketika kanak-kanak terpaksa duduk di rumah bagi jangka waktu yang terlalu lama, sebahagian mereka mungkin akan rasa selesa dengan keadaan itu, dan pada waktu itulah hal ini membawa satu kesan yang tidak elok,” katanya.

“Keterasingan memberi kesan kepada kanak-kanak, lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak yang autistik kerana mereka kurang berinteraksi dengan teman-teman seusia mereka di luar rumah. Ia akan memberi kesan dalam cara interaksi mereka dengan orang lain dan dalam jangka waktu yang lama, keadaan itu akan jadi sangat tidak baik untuk mereka.”

Apa yang diperkatakan Lee itu turut diakui seorang ahli perniagaan Ieda Ilham.

Sebelum pandeik melanda, dia sibuk menguruskan anak lelakinya, Megat Iman Ziqri, yang didiagnosis mengalami autisme ringan dan lambat bertutur ketika usianya dua tahun.

Ieda sering mengetengahkan pengalamannya membesarkan anak autistik yang sebahagiannya adalah kesan daripada penggunaan telefon pintar ketika masih terlalu kecil.

Bagi membolehkan anaknya leka ketika dia sibuk bekerja, Ieda memberikan telefon kepada Megat ketika usianya satu tahun.

“Ini adalah kesilapan yang saya tak mahu ibu bapa lain buat,” katanya.

“Anak mungkin tak kacau kita lagi, tapi dia akan cipta dunianya sendiri. Dalam jangka waktu yang lebih lama, mereka mungkin tidak lagi mahu berinteraksi dengan orang lain.”

Megat kini berusia sembilan tahun dan sudah mengalami banyak perubahan positif bahkan ketika tempoh pandemik, kanak-kanak itu juga kini boleh menghadiri sesi-sesi terapi autisme.

Megat juga menerima lebih banyak perhatian daripada keluarganya, yang kini mengambil langkah mengenakan had waktu penggunaan telefon pintar.

“Sepanjang pandemik, ibu bapa perlu luangkan waktu dan berikan perhatian yang lebih kepada anak-anak mereka, lebih-lebih lagi yang berusia di bawah tujuh tahun kerana ia adalah tempoh paling penting dalam perkembangan anak-anak,” kata Ieda.

Lee turut bersetuju pemberian peranti pintar kepada kanak-kanak boleh membahayakan mereka dalam jangka masa yang lebih panjang.

“Kajian klinikal membuktikan kanak-kanak yang terlampau terdedah dengan penggunaan peranti pintar memiliki masalah kurang kemahiran organisasi dan menyelesaikan masalah, mereka juga kurang kemahiran berkomunikasi dan lemah dalam berinteraksi,” katanya.

“Ia memberi kesan dalam banyak ruang perkembangan kanak-kanak.”

Lee turut menasihatkan ibu bapa yang mengesyaki anak mereka mempunyai tingkah laku yang pelik untuk membuat janji temu dengan pakar perkembangan kanak-kanak.

“Lebih baik anak-anak ini dapat intervensi awal daripada terpaksa duduk di rumah sementara ibu bapa harap anak mereka akan jadi bertambah baik,” katanya.

“Ibu bapa juga boleh buat kajian mengenai pemerhatian yang mereka lihat pada anak-anak. Bila anda ada ilmu mengenainya, anda akan jadi lebih tenang dan sedar, bukan sukar untuk dapatkan bantuan.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.