Bersatu mengambil keputusan menggugurkan keanggotaan tiga ahli partinya yang bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, mengatakan ia akan kekal dengan keputusannya untuk tidak meletakkan sebarang calon.
Pengerusi Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata keanggotaan Siki Balarik, Ricky Enteri, dan Ismawi Muhammad digugur secara automatik.
Siki bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga, Ricky (DUN Bawang Assan) dan Ismawi (DUN Muara Tuang).
Siki ialah ketua Bersatu Hulu Rajang manakala Ricky ialah aktivis Pemuda Bersatu dari Bawang Assan, sementara Ismawi adalah ketua Bersatu Kota Samarahan.
“Jadi sekarang ini tidak ada ahli Bersatu yang bertanding, mereka telah pun digugurkan keanggotaan secara automatik menurut Perlembagaan Bersatu,” kata Jaziri kepada Bernama.
Menurutnya, Bersatu sudah berikan kepada mereka masa dan peluang untuk menarik diri tapi tiada tindakan dibuat, kerana itu keahlian mereka digugurkan.
“Bersatu tetap dengan pendirian tidak bertanding pada PRN Sarawak,” katanya.
Pada 27 November, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata partinya tidak akan meletakkan calon bagi menghormati permintaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Muhyiddin turut berkata Bersatu memilih untuk tidak menyertainya kerana percaya GPS mempunyai keupayaan untuk menang dan mereka juga turut menyokong kerajaan persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) semasa beliau menjadi perdana menteri.
Seorang lagi ahli Bersatu, Ali Biju sebelum ini turut mencalonkan diri bagi mempertahankan kerusi DUN Krian yang disandangnya sebagai pada 18 Disember.
Namun ia menyebabkan GPS kecewa dan mendakwa Bersatu tidak mengotakan janjinya untuk meletakkan calon dalam PRN tersebut.
Ali kemudiannya mengumumkan penarikan dirinya sebagai calon dan memberikan sokongan penuh kepada calon GPS di Krian.
Ali memenangi kerusi Krian menggunakan tiket PKR pada 2011 dan 2016, jika bertanding beliau berdepan dengan Friday Belik dari GPS dan Musa Dinggat dari Parti Sarawak Bersatu.