- Iklan -
Berita

13.1% remaja, wanita B40 tidak mampu beli tuala wanita

16.4% daripada golongan itu menyatakan mereka mengalami kesulitan untuk membeli produk pengurusan haid.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kemiskinan haid dialami golongan miskin bandar ketika pandemik.
Kemiskinan haid dialami golongan miskin bandar ketika pandemik.

Kajian dilaksanakan kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat (KPWKM) berkaitan kemiskinan haid melibatkan remaja perempuan dan wanita daripada kumpulan B40 di sekitar ibu negara mendapati 13.1% daripada golongan itu tidak mampu membeli tuala wanita berikutan harga yang mahal.

Timbalan Menteri Siti Zailah Mohd Yusoff berkata 16.4% daripadanya pula menyatakan mereka mengalami kesulitan untuk membeli produk pengurusan haid itu.

“Kajian rintis ini dilaksanakan melibatkan remaja perempuan dan wanita berusia 13 hingga 24 tahun di 13 komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan dua institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan senator T. Mohan yang ingin tahu keadaan sebenar masalah kemiskinan haid di negara ini serta rancangan jangka panjang kerajaan dalam mengatasi masalah tersebut.

Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila perempuan atau keluarga mereka tidak mampu memiliki tuala wanita disebabkan kekangan kewangan.

Bagi mengatasi masalah itu, Zailah berkata KPWKM mengadakan program kesedaran dan program pemberian kit kebersihan kepada 130,000 remaja selain program pekerti sebagai usaha mendidik remaja tentang pendidikan kesihatan.

“Program pengagihan (kit pengurusan haid) dilaksanakan ini melibatkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun melalui sekolah-sekolah yang melibatkan 1,105 sekolah (di seluruh negara),” katanya.

Selain itu, beliau berkata KPWKM turut mengadakan program bagi membantu golongan remaja mengurus rutin kebersihan serta kesihatan fizikal dan mental terutama semasa pandemik Covid-19.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.