- Iklan -
Berita

Malaysia antara 60 negara teratas dalam indeks kemajuan sosial

Prestasi Malaysia meningkat dari sudut penjagaan perubatan dan kesejahteraan namun menurun dari segi hak peribadi dan akses kepada pendidikan tinggi.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Prestasi Malaysia menunjukkan peningkatan paling tinggi tahun ini dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan memungut 67.64 mata dari 66.69 pada 2020.
Prestasi Malaysia menunjukkan peningkatan paling tinggi tahun ini dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan memungut 67.64 mata dari 66.69 pada 2020.

Malaysia disenaraikan antara 60 teratas dari senarai 168 negara dalam indeks yang dikumpul sebuah NGO berpangkalan di AS bagi mengukur prestasi sosial termasuk hubungan antara kemampanan dan kemajuan sosial.

Indeks Kemajuan Sosial 2021, yang dikelolakan Social Progress Imperative (SPI), mengukur prestasi sosial berdasarkan 53 indikator sosial dan alam sekitar.

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia menduduki tempat kedua selepas Singapura (30) dan mendahului negara jiran lain Thailand (71), Indonesia (94), Vietnam (78), Filipina (97), Kemboja (128), Myanmar (117), dan Laos (145).

Malaysia memperoleh 90 mata bagi nutrisi dan penjagaan perubatan asas (91.33), air dan sanitasi (90.29), selain tempat tinggal (91.84).

Prestasi negara menunjukkan peningkatan paling tinggi dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan (67.64 dari 66.69 pada 2020).

Selain itu, skor yang lebih baik turut ditunjukkan dalam sektor nutrisi dan penjagaan perubatan asas (91.33, peningkatan sebanyak 0.22).

Prestasi keseluruhan Malaysia adalah relatif berbanding 15 negara yang memiliki persamaan dari sudut keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita termasuk Turki, Greece, Hungary dan Uruguay.

Bagaimanapun, skor Malaysia menurun dalam beberapa perkara seperti hak peribadi (66.22) dan akses kepada pendidikan tinggi (61.26), yang masing-masing merosot dari 69.46 dan 65.97 mata pada tahun lepas.

Secara umum, indeks itu menunjukkan hak peribadi dan keterangkuman adalah perkara yang menyaksikan penurunan di seluruh dunia.

Kira-kira 69% atau 116 dari 168 negara telah menyaksikan penurunan prestasi dalam hak individu sejak 2011, dengan penurunan ketara dari sudut hak peribadi (-5.90).

Hubungan antara kemampanan dan kemajuan sosial telah dimasukkan dalam indeks itu buat kali pertama tahun ini.

Dari sudut itu, indeks tersebut mendedahkan Costa Rica, Ghana, Jamaica dan Sweden mempunyai tahap pelepasan (gas) yang agak rendah berbanding negara lain selain turut mengatasi prestasi mereka sebelum ini dalam banyak aspek kemajuan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif SPI Michael Green berkata negara-negara dalam senarai indeks tidak perlu memilih antara menangani isu perubahan iklim dan meningkatkan kemajuan sosial.

“Terlalu banyak negara memilih untuk menggunakan model pembangunan yang tidak mampan, pada hal mereka tidak perlu melakukannya. Wujud model lain yang membolehkan kita mengimbangi keperluan manusia dan planet ini. Penyelesaiannya sudah ada,” katanya .

Indeks itu juga menunjukkan pandemik Covid-19 telah mengurangkan perjuangan dalam menentang ketidaksamaan.

“Daripada jurang pendidikan yang semakin melebar sehinggalah ketidaksetaraan kesihatan, kita melihat bagaimana populasi paling rentan di dunia menanggung beban akibat krisis dunia yang banyak berlaku, termasuk krisis iklim.

“Walaupun negara-negara ini berbeza dalam kedudukan mereka bagi usaha menuju kemampanan, kita semua mesti bekerjasama – baik kerajaan mahupun perniagaan – supaya kita boleh menghadapi isu global secara bersemuka sambil turut menumpukan perhatian pada hasil sosial, kesihatan dan ekonomi dari semasa ke semasa,” kata Sharon Thorne, pengerusi lembaga global Deloitte yang menyokong indeks tersebut.

Negara-negara yang mempunyai kemajuan sosial lebih tinggi juga didapati lebih berdaya tahan terhadap tekanan yang bukan berkait dengan kesihatan disebabkan pandemik.

Bagaimanapun, di 44 negara, akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti menjadi semakin tidak setara sepanjang tahun lalu.