- Iklan -
Berita

Pindaan Akta 342 penting diluluskan segera, kata KP kesihatan

Kelulusan akta itu penting bagi memastikan kesinambungan keberkesanan usaha membendung Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama

Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) penting untuk diluluskan secepat mungkin bagi memastikan kesinambungan dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) bimbang sekiranya perbahasan di Parlimen berpanjangan, mungkin akan tergendala kesinambungan KKM melaksanakan penguatkuasaan kawalan penyakit berjangkit di negara ini.

“Pada 1988, apabila akta ini digubal, kita tidak mengambil kira tentang pandemik tetapi lebih kepada penularan wabak, kini tiba masanya untuk kita kaji semula dan apa yang lebih penting ialah pencegahan.

“Jika kita hendak melaksanakan Akta 1988, kompaun maksimum RM1,000 terhadap syarikat-syarikat yang besar misalnya, ia tidak akan dapat menghalang atau mencegah kerana mereka tiada masalah dalam soal membayar kompaun.

“Pada saya, jumlah kompaun yang dikenakan tidak boleh sama. Jadi kami membuat keputusan untuk membezakan antara individu dan korporat,” katanya dalam sesi taklimat media mengenai RUU Pindaan Akta 342 semalam.

Di bawah pindaan Seksyen 25 Akta 342, KKM mencadangkan nilai kompaun dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1 juta bagi sesuatu pertubuhan perbadanan, manakala bagi kesalahan individu pula akan ditentukan suatu jumlah wang yang tidak melebihi RM10,000 berbanding RM1,000 sebelum ini.

“Kita harap (pindaan akta) dapat dibentangkan dan mendapat persetujuan semua Ahli Parlimen, barulah kita boleh laksanakan pindaan 2021 dengan secepat mungkin,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali membentangkan RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam.

Sementara itu, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook miliknya menyatakan ahli Parlimen tidak akan menyokong pindaan RUU Akta 342 berikutan tidak bersetuju dengan nilai kompaun yang dicadangkan.