- Iklan -
Berita

5 lagi mayat pendatang tanpa izin mangsa bot karam ditemui

Seramai 14 pendatang tanpa izin di dalam bot itu selamat manakala 20 orang lagi masih hilang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pihak berkuasa telah menemui 16 mayat warga Indonesia yang lemas di Tanjung Balau, Johor. Bot dinaiki mereka karam dalam cuaca buruk dan ombak tinggi, pada awal pagi semalam. Gambar: Bernama
Pihak berkuasa telah menemui 16 mayat warga Indonesia yang lemas di Tanjung Balau, Johor. Bot dinaiki mereka karam dalam cuaca buruk dan ombak tinggi, pada awal pagi semalam. Gambar: Bernama

Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan Tanjung Balau, hari ini menemukan lima mayat dipercayai pendatang tanpa izin yang hilang dalam insiden itu.

Ketua Zon II Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi Penguasa Bomba Al Hasra Mohamad berkata mayat tiga lelaki dan dua wanita itu ditemukan antara 6.45 pagi dan 7.45 pagi tadi.

“Kesemua mayat ditemukan terdampar di persisiran pantai dengan jarak antara 500 meter hingga 2.5 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya kepada Bernama hari ini.

Penemuan berkenaan menjadikan kesemua mangsa yang dipercayai masih hilang adalah seramai 20 orang.

Semalam, 11 warga Indonesia ditemui lemas di pantai berkenaan apabila bot dinaiki mereka karam dalam cuaca buruk dan ombak tinggi, pada awal pagi.

Seramai 14 lagi pendatang tanpa izin di dalam bot itu selamat manakala 25 orang dipercayai hilang.