- Iklan -
Berita

Hak bukan keutamaan, kami mahu pekerjaan, kata anak muda pedalaman Sarawak

Ramai yang terpaksa berpindah dari kampung mereka dengan harapan dapat bekerja di kawasan bandar.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Rumah panjang Pinky Sandom di Maradong. Ramai anak muda seperti Pinky berpindah ke bandar dari kampung halaman mereka untuk mencari pekerjaan.
Rumah panjang Pinky Sandom di Maradong. Ramai anak muda seperti Pinky berpindah ke bandar dari kampung halaman mereka untuk mencari pekerjaan.

Pinky Sandom berpindah ke Sarikei dari kampungnya yang terletak di pedalaman Maradong, Sarawak kira-kira setahun lalu.

Seperti ramai anak muda Sarawak yang lain, dia keluar dengan harapan mendapatkan kerja bagi membantu bapanya di kampung.

Anak muda berusia 26 tahun itu tiba di Sarikei beberapa hari selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dibatalkan, menyebabkan beberapa sektor sosial dan ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

Bagaimanapun, dia mendapati peluang pekerjaan sangat sedikit.

Setelah beberapa lama, Pinky akhirnya berjaya mendapatkan kerja sebagai seorang pembantu jualan.

Untuk beberapa bulan, dia bekerja mengikut syif – kadangkala di waktu siang, dan kemudian bertukar di waktu petang sehingga malam.

Untuk keluar ke tempat kerja, dia harus berjalan kaki sejauh 2km dari tempat tinggalnya.

Jika syif kerja di waktu malam, Pinky hanya akan pulang pada lewat malam, biasanya pada pukul 11 malam.

Dengan tempoh lapan jam sehari bekerja, wanita muda itu mendapat gaji sekitar RM1,100 sebulan bergantung kerja lebih masa yang dilakukannya.

Baginya, ini bukanlah kehidupan yang diimpikan seorang pemegang ijazah sepertinya, namun dia tahu tiada pilihan lain.

Walau sukar kehidupan di kota, Pinky tidak pernah terfikir untuk pulang ke rumah panjang di kampung halamannya.

Dia sedar, di sana kehidupan lebih sukar.

Untuk berulang alik dari rumah panjang sekitar 17km dari tempat kerjanya juga bukan pilihan.

Jalan berliku, malam yang gelap gelita tanpa lampu jalan.

Dia boleh juga menaiki bot melalui jalan air, namun itu juga bergantung keadaan cuaca.

“Saya sewa bilik di bandar supaya mudah untuk ke tempat kerja,” kata Pinky kepada MalaysiaNow.

Untuk sewa bilik, RM450 – hampir setengah dari gaji bulanannya habis.

Kisah Pinky adalah cerita biasa dalam kalangan anak muda Sarawak yang berpindah ke kawasan bandar untuk mendapatkan kerja.

Bagi mereka, kos kehidupan, pekerjaan dan pendapatan menjadi isu yang paling utama difikirkan.

Sejak beberapa tahun lalu, Sarawak menyaksikan kemajuan dalam pembangunan jalan raya di kawasan pedalaman.

Dari 2016 hingga 2020, 795km jalan raya di kawasan pedalaman sudah dibina dan dinaik taraf.

Namun, dengan pembangunan pesat itu, masih ramai yang terpaksa melalui kawasan berlumpur dan jalan raya yang tidak rata.

Sering juga, perjalanan menggunakan bot menjadi satu-satunya cara untuk sampai ke kawasan dan lokasi pedalaman.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, ramai calon berikrar untuk meningkatkan pembangunan negeri dan menyelesaikan keperluan mereka yang berada di kawasan pedalaman.

Namun buat masa ini, kawasan pedalam Sarawak kekal menjadi cabaran ramai orang disebabkan populasinya yang tidak terkumpul, bentuk muka bumi menyukarkan dan akses yang lemah ke tapak-tapak projek.

Bagi Pinky, inilah bahagian paling sukar hidup di kawasan luar bandar.

“Apa yang rakyat mahu ketika ini adalah infrastruktur asas di kawasan-kawasan pedalaman.

“Anak muda pula sangat memerlukan kerja, lebih-lebih lagi mereka yang berasal dari kawasan pedalaman, dan pendapatan isi rumah yang rendah.

“Kami tak peduli mengenai hak-hak yang diperkatakan oleh orang-orang politik.

“Apa yang kami mahu kelangsungan hidup dapat ditambah baik.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.