Seorang mufti menggesa kementerian kesihatan (KKM) menjelaskan mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang didakwa terdapat elemen “double standard” menjelang solat Jumaat esok, di mana ramai tidak berpeluang menunaikannya ekoran langkah penjarakan fizikal yang ditetapkan kerajaan.
Pelaksanaan penjarakan fizikal menghilangkan unsur utama sembahyang jemaah dalam Islam, di mana jemaah diminta berdiri rapat dalam saf ketika bersembahyang.
Namun, sejak dua tahun lalu, ulama Islam membenarkan syarat saf ini tidak diikuti ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa penjarakan fizikal dilaksanakan di tempat awam.
Perubahan itu antara lain menyaksikan perubahan besar suasana masjid yang ditinggalkan sepi tanpa pengunjung selain turut menyebabkan ibadah haji yang mengumpulkan penganutnya di Mekah turut dibatalkan.
Bagaimanapun, selepas aktiviti harian mula aktif dijalankan sejak Ogos lalu susulan Pelan Pemulihan Negera (PPN) yang dijalankan kerajaan, orang ramai mulai memenuhi tempat-tempat awam, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan mengapa SOP masih dikuatkuasakan di masjid namun di tempat lain ia dilonggarkan.
“Kaedahnya ialah jika di tempat lain boleh, maka di masjid pun boleh,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Tidak ada double-standard.”
Kebimbangan beliau itu dilihat menyuarakan kritikan sebilangan umat Islam terhadap pihak berkuasa agama berhubung keengganan untuk melonggarkan sekatan kehadiran jemaah di masjid, selain menggesa supaya kebiasaannya suasana solat di masjid dikembalikan seiring dengan pembukaan semula aktiviti sosial yang lain.
Masjid menyertai tempat-tempat awam lain yang diarahkan untuk ditutup pada Mac 2020 sewaktu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika awal pandemik Covid-19 melanda.
Sebelum PKP dan SOP rasmi kesihatan diperkenalkan, Masjid Sri Petaling di Selangor menjadi kluster terbesar Covid-19 selepas ia menganjurkan perhimpunan antarabangsa tahunan jemaah tabligh, di mana ia menarik pendakwah dari seluruh dunia.
Masjid akhirnya dibuka semula untuk dikunjungi selepas kejayaan program vaksinasi kebangsaan tahun ini, namun beberapa SOP tetap kekal dilaksanakan.
Ia termasuk pemakaian pelitup muka, solat dengan penjarakan fizikal, dan pengunjung perlu membawa sejadah sendiri.
Menurut Asri, beliau tidak membantah pelaksanaan SOP kerana ia merupakan sesuatu yang baik demi mengekang penularan Covid-19, namun hal ini seolah-olah tidak diamalkan di stadium, pengangkutan awam dan program hiburan.
Asri berkata alasan yang dinyatakan KKM kononnya masjid tidak mempunyai pengudaraan yang cukup hanyalah sekadar andaian dan ruangan di dalam pengangkutan awam seperti kapal terbang, bas dan kereta api adalah lebih sempit berbanding masjid.
Mengulas lanjut, Asri menegaskan, fatwa yang dikeluarkan untuk menjarakkan saf di masjid hanya dibenarkan apabila KKM memberi alasan penyebaran wabak akan berlaku jika saf dirapatkan.
“Kita hanya melonggarkan (syarat merapatkan saf) apabila ada alasan kukuh,” katanya.
“Tetapi alasan itu tidak dipakai di tempat lain, mengapa alasan itu hanya terpakai di masjid?
“Ini seolah-olah ada sangkaan buruk atau pandangan bahawa penyebaran wabak hanya berlaku di masjid.”
Oleh itu, Asri menggesa KKM bersikap jujur dan menjelaskan mengapa SOP di masjid berbeza di tempat lain.
“KKM perlu cakap secara terbuka dan jujur kerana ini adalah urusan awam,” katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.