- Iklan -
Berita

Polis giat buru ‘Long Tiger’ yang lari dari lokap

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Long Tiger diminta menghubungi polis.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, terlepas daripada tahanan ketika menghadiri prosiding perbicaraannya. Gambar: Facebook
Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, terlepas daripada tahanan ketika menghadiri prosiding perbicaraannya. Gambar: Facebook

Polis giat memburu seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Long Tiger selepas berjaya meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu.

Abdul Hamim Ab Hamid, 32, terlepas daripada tahanan ketika menghadiri prosiding perbicaraannya.

Ketua Polis Daerah Tangkak Mohd Fadhil Minhat berkata orang kena tahan (OKT) berketurunan Rohingya itu, hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes berkait Seksyen 388 Kanun Keseksaan, sebelum terlepas.

“Usaha mengesan suspek masih dijalankan polis serta khidmat anjing pengesan K9 turut digunakan selain sekatan jalan raya (SJR),” katanya dalam sebuah kenyataan.

Menurut Fadhil, ketika kejadian Hamim dalam keadaan botak dan memakai kemeja-T pagoda dan berseluar coklat, berketinggian lebih kurang 160 sentimeter dan berat sekitar 65 kilogram.

“OKT ketika dalam tahanan, tangannya masih bergari dan sedang menunggu untuk memulakan prosiding sambil menunggu peguamnya untuk hadir ke mahkamah.

“Prosiding yang sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi ditangguhkan sementara menunggu kehadiran peguam bela tertuduh.

“Dia disedari melarikan diri dari mahkamah oleh orang ramai dan usaha untuk menangkapnya dilakukan, tetapi OKT berjaya meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran,” katanya.

Hamim sebelum ini ditempatkan di Penjara Sungai Udang, Melaka sebelum dibawa ke lokap polis IPD Tangkak pada 14 Disember.

Pada 15 Disember, dia dibawa ke lokap mahkamah sebelum dia berjaya meloloskan diri dari pintu utama mahkamah.

Fadhil berkata pihaknya memohon kerja sama orang ramai yang terlihat Hamim atau mempunyai maklumat berhubung lokasi tertuduh, untuk segera menghubungi pihak polis.

Setakat ini, empat anggota polis yang bertanggungjawab mengiringi Long Tiger ke mahkamah juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 kerana kecuaian, selain siasatan lanjut akan dilakukan terhadap polis yang bertugas di mahkamah.

“Polis masih menyiasat sama ada kesemua anggota tersebut terlibat dalam kejadian ini atau sebaliknya, serta cara tertuduh meloloskan diri dari sel mahkamah.

“Tertuduh yang masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, kini disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari dari tahanan,” tambah beliau.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada balai polis berdekatan atau menghubungi ibu pejabat polis daerah (IPD) Tangkak di talian 06-9781222, Hotline IPD Tangkak, 06-9785222 atau mana-mana IPD.