Persembahan koir di gereja sempena Hari Krismas dibenarkan dengan syarat perlu mematuhi penjarakan fizikal tidak kurang satu meter serta wajib memakai pelitup atau pelindung muka.
Menurut kenyataan kementerian perpaduan negara, prosedur operasi standard (SOP) itu yang akan dilaksanakan pada 24 dan 25 Disember, dibentangkan menterinya, Halimah Mohamad Sadique pada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 semalam dan telah diluluskan.
Kenyataan itu menyebut upacara sembahyang dibenarkan mengikut SOP pembukaan rumah ibadat selain Islam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara.
Selain itu, hanya penerima vaksin lengkap dibenarkan mengunjungi rumah keluarga.
Nyanyian “carolling” dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan manakala jualan gerai Hari Krismas tertakluk kepada kelulusan dan kawalan pihak berkuasa tempatan, menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan Halimah menyeru penganut Kristian supaya menyambut perayaan Krismas dalam norma baharu, sentiasa mematuhi SOP ditetapkan, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan diri dan memastikan penjarakan fizikal dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 di Malaysia.