- Iklan -
Berita

GPS hampir pasti menang, namun apakah Abang Jo dapat atasi rekod Tok Nan?

Keputusan PRN Sarawak kali ini akan hampir menyamai rekod sebelum ini, kata penganalisis James Chin.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg beramah mesra dengan orang ramai ketika kempen PRN Sarawak baru-baru.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg beramah mesra dengan orang ramai ketika kempen PRN Sarawak baru-baru.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang diadakan hari ini dijangka akan dimenangi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bertanding di seluruh 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan bergaya.

Walaupun kemenangan hampir pasti bagi GPS, namun seorang penganalisis berkata apakah pengerusnya Abang Johari Openg dapat mengatasi prestasi Adenan Satem pada PRN 2016 yang berjaya membawa kemenangan di 72 kerusi DUN.

Pemerhati politik Sarawak dari Universiti Tasmania, Australia James Chin berkata keputusan bagi PRN Sarawak kali ini akan hampir menyamai yang sebelumnya.

“GPS akan dapat lebih dari 60 kerusi.

“Malah mereka akan peroleh lebih daripada angka itu jika mereka boleh ubah pendirian pengundi untuk memilih mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sejumlah 1.2 juta pengundi layak mengundi pada PRN hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi sekitar 70%.

DUN Sarawak dibubarkan pada 3 November selepas Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk membatalkan lanjutan perintah darurat di negeri itu.

Sebelum pembubaran DUN, GPS memiliki 68 kerusi – di mana 47 dipegang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), 11 oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS), tujuh dipegang Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dan tiga lagi kerusi diduduki Parti Demokratik Progresif (PDP).

Bagi blok pembangkang, parti serpihan SUPP iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB) memiliki enam kerusi sementara DAP Sarawak menyandang lima kerusi dan satu kerusi disandang Bersatu.

Satu kerusi disandang Adun bebas dan satu kerusi tiada penyandang.

PBB yang merupakan parti tunjang GPS dijangka akan menguasai kerusi-kerusi yang mewakili majoriti Melayu dan Melanau.

26 daripada keseluruhan 47 calonnya diletakkan di kerusi-kerusi tersebut.

Dalam pada itu, pertikaian antara PSB yang diketuai Wong Soon Koh dan Pakatan Harapan, terutamanya DAP mungkin akan mengakibatkan DAP kehilangan satu dari tujuh kerusi dimenanginya pada 2016, kata Chin.

Tujuh kerusi itu adalah Pending, Padungan, Kota Sentosa, Pujut, Bukit Assek, Tg Batu dan Pelawan.

“Saya jangka DAP tak akan dapat kekalkan tujuh kerusi yang disandangnya.

“Kali ini, kerusi mereka akan kurang daripada jumlah itu,” katanya.

Pada pandangan Chin, pesaing sebenar GPS adalah PSB.

Walau apapun keadaannya, kata Chin, PRN kali ini akan menjadi referendum mengenai prestasi Abang Johari sebagai ketua menteri.

Pada pengundian awal PRN Sarawak yang diadakan pada 14 Disember, 89% atau 18,141 individu keluar untuk membuang undi.