- Iklan -
Berita

Mesin jahit beri harapan baru bagi wanita berkerusi roda

K Ilavarasi mungkin dapat menggapai impian untuk cari pendapatan dan berdikari.

Danisyah Dalily
2 minit bacaan
Kongsi
K Ilavarasi bersama mesin jahit barunya, ia adalah hadiah ikhlas dari orang yang tidak dikenalinya.
K Ilavarasi bersama mesin jahit barunya, ia adalah hadiah ikhlas dari orang yang tidak dikenalinya.

K Ilavarasi nampak gembira duduk di kerusi roda dengan mesin jahit baru miliknya di atas meja.

Baru-baru ini, wanita berusia 29 tahun itu menyatakan harapan untuk memperoleh pendapatan dan berdikari seperti wanita lain seusianya.

Dengan keadaannya yang berkerusi roda sejak kecil, ia menjadi impian dan cabaran yang perlu dia hadapi.

Namun impiannya nampak cerah apabila seorang penghantar barang mengetuk pintu menyerahkan sebuah mesin jahit baru.

Terkesima, Ilavarasi tidak tahu bagaimana untuk memberikan reaksi ketika menerima pemberian itu.

Penghantar barang itu mengatakan mesin jahit tersebut adalah hadiah daripada seorang yang ikhlas.

Mengetahui niat ikhlas pemberi hadiah itu, Ilavarasi seakan tidak percaya namun hatinya gembira.

“Saya tak dapat gambarkan perasaan gembira sewaktu terima mesin jahit ini,” katanya kepada MalaysiaNow di ruang tamu rumah rumah ibu saudaranya di Rawang.

K Ilavarasi mempelajari bagaimana memasukkan benang ke dalam mesin jahit barunya ketika ditemui di Rawang.

Baru-baru ini MalaysiaNow melaporkan cabaran yang dihadapi Ilavarasi yang diabaikan ibu kandung ketika usianya masih kecil kerana keadaan dirinya.

Dia membesar dalam keterasingan daripada masyarakat sekeliling kerana tidak boleh berkawan dengan teman-teman seusianya selain tidak mendapat banyak bantuan daripada pihak berkuasa.

Berseorangan di rumah, dia cuba meringankan beban ibu saudaranya dengan menjaga diri sendiri selain membantu melakukan kerja-kerja rumah.

Namun dia sentiasa berharap untuk melakukan sesuatu yang lebih daripada itu, dia mahu dapatkan pendapatan dan bantu orang lain.

Mesin jahit yang dihadiahkan seorang pemberi ikhlas itu mungkin menjadi kunci untuknya menggapai impian.

“Saya tak sabar nak mula belajar bagaimana menggunakan mesin jahit ini,” kata Ilavarasi yang sebelum ini hanya menjahit menggunakan tangan.

“Ada banyak teknik jahitan yang saya mahu cuba.”

Ilavarasi memiliki bakat semulajadi dalam jahitan, kata ibu saudaranya kepada MalaysiaNow.

“Kami tak pernah hantar dia ke kelas jahitan, tapi jahitannya bagus walaupun sebelum dapat mesin ini.

“Jika inilah kesukaannya dan apa yang dia mahu buat, saya akan sokong dia,” tambahnya.

K Ilavarasi menggunakan mesin jahitnya. Dia berterima kasih dan syukur dengan hadiah diterima daripada seorang yang tidak dikenalinya.

Dengan mesin jahit itu, Ilavarasi kini memikirkan pelbagai perancangan berdepan hari-hari berikutnya.

“Saya mahu jahit blaus dengan pelbagai gaya dan warna,” katanya.

“Mungkin tahun depan saya sudah boleh jahit sari saya sendiri untuk raikan Deepavali.”

Namun, pakaian pertama yang dia mahu jahit adalah sari khas buat ibu saudara yang menjaganya sejak kecil.

Walaupun tidak mengetahui siapakah gerangan pemberi ikhlas itu, Ilavarasi mengucapkan terima kasih dan rasa syukurnya.

“Saya tak akan lupakan kebaikan yang ditunjukkan oleh pemberi mesin jahit yang ikhlas ini,” katanya sambil menambah hadiah itu memberikan harapan baru untuknya maju ke hadapan.

“Saya harap dapat belajar lebih banyak lagi dan akan terus cuba capai kejayaan dalam hidup saya.”