Gabungan Pakatan Harapan (PH) menanggung satu lagi kekalahan pilihan raya negeri (PRN) hari ini di Sarawak, selepas baru sahaja kalah besar di Melaka bulan lalu.
PKR yang dipengerusikan Anwar Ibrahim, langsung tidak memenangi sebarang kerusi di 28 kerusi yang ditandinginya pada PRN Sarawak.
Lapan calon Amanah juga gagal memenangi sebarang kerusi ditandingi mereka.
Sementara itu, DAP pula hanya dapat mengekalkan kerusi Pending dan Padungan namun kalah di 22 baki kerusi yang ditandinginya termasuk Kota Sentosa, Pujut, Pelawan, Bukit Assek dan Tanjung Batu di mana mereka memenanginya pada PRN 2016 lalu.
Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen memenangi Padungan dengan 4,686 undi mengalahkan calon GPS Wee Hong Seng dengan majoriti 1,198 undi.
Dalam pada itu, Violet Wong memenangi kerusi Pending bagi penggal ke-4, mendapat 5,188 undi sekali gus mengalahkan lawannya dari SUPP Milton Foo Tiang Wee.
Parti Sarawak Bersatu memenangi empat kerusi: Ba’kelalan, Batu Lintang, Engkelili dan Bawang Assan.
Ba’kelalan dan Batu Lintang kekal disandang bekas ahli PKR Baru Bian dan See Chee How.
Baru menang dengan majoriti 2,687 undi sementara See menang dengan majoriti 4,420.