Mangsa banjir yang kehilangan kad pengenalan, pasport dan dokumen peribadi di bawah agensi kementerian dalam negeri boleh mendapatkan penggantian dokumen peribadi itu secara percuma.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta imigresen akan diarahkan supaya membantu mangsa yang dokumen mereka musnah atau hilang akibat banjir dalam masa terdekat.
“Sekarang ini mangsa boleh memberi tumpuan kepada proses pembersihan banjir dan pihaknya menerusi JPN dan Jabatan Imigresen serta agensi berkaitan akan membantu mendapatkan dokumen berkenaan.
“Selepas ini segala dokumen, sijil kelahiran, sijil kematian, pasport atau dokumen yang musnah akibat bencana (banjir) ini akan diberikan (penggantian) secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Batu 18, Kampung Jawa hari ini.
Beliau berkata banjir yang berlaku di Hulu Langat serta Shah Alam di Selangor adalah di luar jangkaan dan persediaan agensi di bawah kementeriannya memberi fokus ke negeri di Pantai Timur.
“Kebiasaannya negeri di Pantai Timur akan mengalami banjir sekitar November hingga Mac dan keadaan ini menyebabkan aturan gerak aset tertumpu ke kawasan berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun menurut Hamzah, susulan kejadian banjir di Selangor, perbincangan akan diadakan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kementerian kewangan dalam usaha mengkaji struktur penggunaan aset dan penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam operasi banjir.
Mengulas komen netizen yang mendakwa usaha menyelamat yang lambat oleh Polis Diraja Malaysia kepada mangsa banjir, Hamzah berkata: “Saya ucapkan terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat untuk bantuan… (tetapi) kita perlu faham keadaan (banjir) di Selangor jarang berlaku dan kita perlu melihat apa yang perlu dilakukan selain kekangan serta masalah untuk masuk ke kawasan menyelamat,” katanya.
Hamzah berkata pihaknya akan mendapatkan bantuan lebih 5,000 anggota daripada Rela dan agensi berkaitan bagi menampung kekuatan lebih 23,000 anggota dan pegawai PDRM dalam operasi membantu mangsa di lapan negeri yang terjejas akibat banjir.