- Iklan -
Berita

AS sekat produk Brightway, syarikat Malaysia kelima didakwa amal buruh paksa

Kumpulan Brightway berkata laporan audit 2019 dan 2020 menunjukkan ia tidak mengamalkan 'buruh paksa atau perhambaan moden'.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Malaysia menjadi tempat tinggal jutaan pekerja asing dari beberapa negara Asia lain yang bekerja dengan gaji rendah. Gambar: Bernama
Malaysia menjadi tempat tinggal jutaan pekerja asing dari beberapa negara Asia lain yang bekerja dengan gaji rendah. Gambar: Bernama

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) menyekat produk import daripada syarikat pengeluar sarung tangan Kumpulan Brightway berikutan dakwaan amalan buruh paksa, kata agensi itu pada Isnin.

Ia adalah sekatan import keenam dalam tempoh 18 bulan terhadap syarikat dari Malaysia, dan merupakan syarikat pengeluar sarung tangan kelima sejak September 2019 yang dikenakan sekatan serupa.

Bagaimanapun, Brightway tidak memberikan respons ketika dihubungi.

CBP mengeluarkan perintah penangguhan pelepasan terhadap produk syarikat itu dengan mengarahkan pelabuhan di AS menyekat produk sarung tangan yang dibuat di Malaysia oleh tiga syarikat kumpulan tersebut – Brightway Holdings, Laglove dan Biopro.

Perintah sekatan itu berkuat kuasa pada Isnin.

Tindakan tersebut diambil berdasarkan “maklumat bahawa wujud bukti munasabah yang menunjukkan buruh paksa diamalkan dalam operasi pembuatan syarikat berkenaan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

CBP turut berkata, ia mengenal pasti 10 dari 11 indikator Pertubuhan Buruh Antarabangsa yang menunjukkan wujud amalan buruh paksa sepanjang pemeriksaan dilakukan terhadap Brightway.

Pada Disember lalu, pihak berkuasa Malaysia telah menyerbu kemudahan Brightway dan mendapati pekerja-pekerjanya tinggal dalam kontena perkapalan yang teruk keadaannya dan tidak selesa sehingga Menteri Sumber Manusia M Saravanan menyifatkan keadaan yang dilalui pekerja syarikat itu sebagai sebuah “perhambaan moden”.

Ketika ditanya mengenai serbuan yang dilakukan pada Mei lalu, pengarah urusan syarikat tersebut, G Baskaran berkata laporan audit 2019 dan 2020 menunjukkan “kami tidak mengamalkan sebarang bentuk buruh paksa atau perhambaan moden.”

Selepas sebulan serbuan dijalankan, CBP memulakan siasatan terhadap Brightway, berdasarkan sebuah surat yang dilihat Reuters.