Nor Syaima Rozman sedang menghabiskan hari Sabtu hujung minggunya di rumah bersama keluarga ketika apabila air dari Sungai Klang berhampiran naik sehingga mulai melimpah ke jalan raya berikutan hujan lebat sepanjang hari.
Menjelang pukul 6 petang, paras air yang naik mulai masuk ke dalam rumah sehingga paras lutut.
Tanpa berlengah, Nor Syaima dan keluarganya bergegas mengemas beberapa keperluan asas dan pakaian sebelum berpindah ke rumah jiran yang terletak di kawasan tinggi.
Namun, pada pukul 8 malam, air banjir turut naik memasuki rumah jirannya itu.
“Kami pindah ke stor dua tingkat,” kata Nor Syaima kepada MalaysiaNow.
“Ada lebih kurang 50 orang termasuk keluarga jiran. Kami duduk di stor sampai 4 pagi.
“Risau sebab tiada makanan. Ada budak-budak, orang kurang upaya dan orang tua.”
Nor Syaima adalah antara ribuan yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir di Selangor dan dan kawasan sekitar Lembah Klang.
Setakat 20 Disember, lebih 32,000 mangsa di Selangor dipindahkan ke 162 pusat pemindahan sementara (PPS), dengan Klang mencatatkan mangsa paling ramai sebanyak 18,858.
Di Taman Sri Muda, Bukit Lanchong dan Hulu Langat, yang menjadi antara kawasan paling teruk dilanda banjir, rumah penduduk dihanyutkan arus deras, sementara kereta rosak turut dilihat terdadai di tepi jalan raya.
Walaupun banjir adalah kejadian bencana yang saban tahun berlaku di Malaysia, terutama di Pantai Timur, keadaan pada hujung minggu lalu itu dilihat sebagai di luar jangkaan pihak berkuasa.
Bercakap kepada MalaysiaNow, Norhazlina Fairuz Musa Kutty dari Universiti Pertahanan Nasional mengatakan agensi kerajaan tidak menjangka banjir kilat yang besar sebegitu rupa berlaku di Lembah Klang.
“Masalah ini kita dah maklum, tapi kita masih tak ambil serius,” kata Norhazlina yang bertugas di pusat penyelidikan bantuan kemanusiaan dan bencana universiti itu.
“Sebab kita rasa banjir kilat sekejap je, tapi sekarang kita tengok sama je kesannya dengan banjir monsun yang berlangsung selama berhari-hari.”
Norhazlina, yang menumpukan penyelidikannya kepada pengurusan bencana alam bandar awam-tentera di Lembah Klang, berkata temu bual dengan pelbagai agensi kerajaan menunjukkan pegawai awam bersedia menghadapi musim tengkujuh di kawasan Pantai Timur, namun tidak bersedia bagi berdepan banjir kilat yang tidak dijangka di kawasan bandar.
Bencana seperti ini di kawasan bandar lebih rumit kerana lokasi terlibat banjir mempunyai tahap kepadatan penduduk yang lebih tinggi daripada kawasan luar bandar, katanya.
Punca banjir Lembah Klang hujung minggu lalu juga turut dikaitkan dengan hujan lebat luar biasa pada Jumaat, apabila jumlah hujan yang turun dalam masa sehari menyamai jumlah purata sebulan hujan di kawasan tersebut.
Zaini Ujang yang merupakan ketua setiausaha kementerian alam sekitar dan air berkata, fenomena seperti itu berlaku kira-kira sekali bagi setiap 100 tahun.
Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau mengaitkannya dengan faktor aliran monsun dan sistem cuaca tekanan rendah.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan mengikut jejak langkah Indonesia dengan mewujudkan konsortium yang terdiri daripada agensi dan NGO bagi mengendalikan aset-aset bantuan.
“Memang agensi-agensi perlukan banyak aset baru, tapi isunya siapa nak selenggara aset itu dan aset sedia ada,” katanya.
“Di bawah konsortium, duit akan pam ke konsortium itu, duit tu akan disalurkan kepada NGO bertanggungjawab atau agensi untuk bahagian tersebut. Setiap agensi boleh peruntuk bajet. Duit tu kita letak bawah satu konsortium, keluarkan untuk macam-macam aset, gunakan duit ini untuk selenggara.”
Walaupun undang-undang bencana akan membantu memastikan penguatkuasaan yang lebih baik dalam pengurusan, katanya, tanggungjawab tidak seharusnya hanya diletakkan kepada agensi kerajaan sahaja.
Di sinilah konsep pertahanan menyeluruh (Hanruh) digunakan.
Hanruh ialah sebahagian daripada sistem keselamatan komprehensif yang menghimpunkan komuniti, kerajaan dan badan bukan kerajaan.
Norhazlina sekali lagi merujuk situasi di Indonesia yang mempunyai apa yang dikenali sebagai doktrin Bela Negara.
“Bela Negara ini bermula daripada tadika. Semua yang mereka lakukan adalah untuk negara, sama ada cuci longkang, bersihkan jalan. Mereka berjaya asimilasikan idea tu ke dalam masyarakat.”
Norhazlina memberikan contoh Acheh, walaupun kurang dari sudut pembangunan, masyarakatnya bersedia menghadapi bencana, katanya.
“Jika ia melibatkan isu respons kepada bencana, 100% kita letak pada kerajaan,” tambahnya.
Dia berkata penting bagi orang ramai untuk berdikari dalam tempoh 24 hingga 48 jam pertama selepas bencana berlaku, sementara menunggu bantuan tiba.
Dalam pada itu, di Puchong, Nor Syaima berjaya diselamatkan oleh anggota NGO yang memeriksa gudang itu dengan menaiki bot.
Kini, dia dan keluarganya sedang menilai kerugian akibat rumahnya yang ditenggalami banjir, mereka memeriksa barang-barang yang tinggal sama ada ia masih boleh digunakan atau tidak.
Mengimbas kembali kejadian itu, Nor Syaima berkata banjir yang terjadi adalah di luar jangkaan.
“Memang kami tidak ada beg kecemasan. Tak terfikir. Tapi mungkin kami perlukannya (lepas ini). Mungkin kena sediakan juga satu ruang yang selamat untuk barang kami.”