- Iklan -
Berita

Mangsa banjir enggan tinggalkan rumah di Taman Sri Muda

Sebahagian penduduk bimbang rumah mereka dipecah masuk jika ditinggalkan, sementara yang lain berkata lebih mudah bersihkan kawasan jika berada di rumah.

Ahmad Mustakim Zulkifli dan Danisyah Dalily
2 minit bacaan
Kongsi
Ramai penduduk yang terjejas banjir di Taman Seri Muda hanya keluar dari rumah mereka untuk mendapatkan bekalan makanan dari pusat agihan bantuan berdekatan.
Ramai penduduk yang terjejas banjir di Taman Seri Muda hanya keluar dari rumah mereka untuk mendapatkan bekalan makanan dari pusat agihan bantuan berdekatan.

Di Taman Sri Muda, Shah Alam, ramai penduduk yang terjejas enggan meninggalkan rumah walaupun air masih tinggi di kawasan mereka sejak empat hari lalu.

Tinjauan MalaysiaNow mendapati penduduk keluar dari rumah hanya untuk mendapatkan bekalan makanan dari pusat agihan bantuan berdekatan.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Safwan berkata hampir separuh penduduk di kawasan itu mengambil keputusan untuk tidak meninggalkan rumah kerana yakin tahap ketinggian air yang naik akan turun dalam masa terdekat.

“Saya ada anak kecil, jadi lepas dua hari terkandas di rumah, saya putuskan untuk tinggalkan rumah bersama isteri,” katanya.

“Banyak bot penyelamat di sini, terutamanya semalam.

“Orang luar cuba usahakan yang terbaik untuk keluarkan kami semua.”

Penduduk Sri Muda yang terjejas akibat banjir bimbang rumah mereka dipecah masuk jika ditinggalkan.

Antara yang berkeras untuk tidak tinggalkan rumah adalah ibu mertuanya yang enggan tinggalkan rumah walau bekalan elektrik dan air terganggu di kawasan itu.

Selepas dipujuk, akhirnya Safwan beralah dan membenarkan ibu mertuanya untuk kekal berada di rumah bersama keluarga pengasuhnya.

Ketika ini, apa yang mampu dia lakukan adalah menunggu di pintu masuk kawasan perumahan Seksyen 25 bersama pihak berkuasa yang dikerahkan bertugas di kawasan itu.

Dia berharap penduduk yang berada di rumah akan turut bersetuju berpindah keluar dari rumah mereka yang ditenggelami banjir demi keselamatan diri masing-masing.

“Bomba kata pada saya tadi yang mereka mungkin akan lepaskan air dari empangan berhampiran, jadi banjir gelombang kedua mungkin akan berlaku” katanya.

Seorang lagi penduduk yang bercakap kepada MalaysiaNow mengatakan mereka yang memilih untuk terus berada di rumah masing-masing bimbang jika dipecah masuk sekiranya meninggalkannya.

Dia juga berkata lebih mudah untuk melakukan kerja pembersihan jika mereka terus berada di rumah.

Bagaimanapun, ia bukanlah pilihan mudah.

Selain kekurangan bekalan elektrik dan air bersih, liputan komunikasi telefon juga turut terganggu sejak tiga hari lalu.

Sebahagian penduduk turut dilihat meninggalkan rumah untuk mencari kawasan terdekat yang membolehkan mereka mengecas telefon dan mendapatkan liputan telefon yang lebih baik untuk berhubung dengan keluarga dan kawan-kawan.

Selepas mengecas telefon, mereka akan kembali ke rumah menunggu air banjir surut.

Setakat 1 tengah hari tadi, ketinggian air banjir di beberapa kawasan masih pada paras lutut.

Pihak berkuasa yang bertugas di kawasan itu sejak Sabtu mengatakan mereka tidak boleh memaksa penduduk untuk meninggalkan rumah.

Apa yang boleh mereka lakukan adalah berharap lebih ramai yang sanggup untuk dipindahkan dari kawasan yang terjejas.