- Iklan -
Berita

2 lagi mayat mangsa banjir ditemui di Sri Muda

Mayat lelaki warga emas dan anak perempuannya ditemui di sebuah rumah teres tengah hari semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara kawasan digenangi air di Taman Sri Muda.
Pemandangan dari udara kawasan digenangi air di Taman Sri Muda.

Dua lagi kematian direkodkan di kawasan banjir Taman Sri Muda menjadikan jumlah keseluruhan 14 korban mangsa banjir ditemukan dengan lapan daripadanya adalah lelaki dan baki enam wanita, setakat 6 petang semalam.

Ketua Polis Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata dua mangsa terbaru itu merupakan dua beranak warga tempatan iaitu seorang bapa berusia 78 tahun dan anak perempuannya berusia 48 tahun yang ditemui di sebuah rumah teres satu tingkat pada 1.40 tengah hari tadi.

“Kita mendapat makluman tentang dua beranak ini daripada keluarga terdekat susulan mereka ini tidak dapat dihubungi sejak banjir melanda. Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat,” katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian 1 (PKTK 1) Taman Sri Muda.

Dalam perkembangan lain, Baharudin berkata seramai 4,276 mangsa banjir telah berjaya diselamatkan dengan 4,080 mangsa dihantar ke 18 pusat pemindahan sementara (PPS) manakala selebihnya memilih untuk berpindah ke rumah saudara dan sebagainya.

Mengulas mengenai perkembangan insiden pecah masuk kedai serbaneka baru-baru ini, beliau berkata sebanyak 10 laporan diterima membabitkan ke pecah masuk kedai serbaneka, kedai perkakasan serta sebuah restoran.