- Iklan -
Berita

Malaysia tarik pelaburan RM177.8 bilion, meningkat 51.5% berbanding tahun lalu

Sektor pembuatan menyumbang pelaburan terbesar dari jumlah keseluruhan dengan menarik RM103.9 bilion atau 58.4%.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sektor pembuatan menyumbang pelaburan diluluskan terbesar dari Januari hingga September tahun ini.
Sektor pembuatan menyumbang pelaburan diluluskan terbesar dari Januari hingga September tahun ini.

Malaysia menarik pelaburan RM177.8 bilion diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama lain dari Januari hingga September tahun ini, menyaksikan peningkatan sebanyak 51.5% dalam tempoh sama tahun lalu.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) berkata pelaburan tersebut melibatkan lebih 3,000 projek yang dijangka akan memberi 80,000 peluang pekerjaan di seluruh negara.

Sektor pembuatan menyumbang bahagian terbesar daripada keseluruhan pelaburan tersebut dengan menarik sejumlah RM103.9 bilion atau 58.4%.

Ia disusuli sektor perkhidmatan (RM57.8 bilion, 32.5%) dan sektor utama (RM16.1 bilion, 9.1%).

Menurut Mida, pelaburan langsung asing (FDI) pula menyumbang hampir 60% pelaburan yang diluluskan dengan nilai RM106.1 bilion.

Singapura, China, Austria, Jepun dan Belanda adalah lima negara teratas penyumbang pelaburan itu, hampir 85.3% atau RM90.6 bilion daripada FDI yang diluluskan.

Sementara itu, pelaburan langsung tempatan (DDI) dengan jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan sebanyak RM71.7 billion atau 40.3%.

FDI mendominasi pelaburan dalam sektor pembuatan manakala sektor perkhidmatan dan sektor utama pula mengatasi sektor lain dalam DDI.

Kedah, Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang menyumbang RM134.8 bilion atau 75.8% dari pelaburan diluluskan merentasi keseluruhan sektor.

Sektor pembuatan menyaksikan kelulusan sejumlah 522 projek bernilai RM103.9 bilion dari Januari hingga September berbanding RM64.8 bilion bagi tempoh sama tahun lalu, meningkat lebih dari 60%.

Dalam pada itu, sektor perkhidmatan menyaksikan kelulusan sebanyak 2,473 projek dengan nilai pelaburan sebanyak RM57.8 bilion.

Sektor utama pula menyumbang RM16.1 bilion atau 9.1% kepada pelaburan yang diluluskan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata prestasi negara menjadi penarik keyakinan pelabur kepada Malaysia sebagai hab pelaburan.

“(Peningkatan pelaburan) ini turut memperkukuh lagi peranan kita sebagai hab terkemuka dalam rangkaian pembuatan syarikat global, meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai negara perintis dan destinasi pelaburan masyhur di rantau ini.”