- Iklan -
Berita

Siapa bertanggungjawab kendali bantuan banjir?

Menurut ketua pengarah Nadma, individu atau agensi yang bertanggungjawab apabila berlaku banjir berbeza mengikut kapasiti bencana.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang mangsa banjir dalam khemah di pusat pemindahan sementara Sekolah Rendah Agama Kampung Delek di Klang.
Seorang mangsa banjir dalam khemah di pusat pemindahan sementara Sekolah Rendah Agama Kampung Delek di Klang.

Banjir kilat yang melanda Lembah Klang sehingga berlaku banjir di beberapa kawasan terutamanya di negeri terkaya Selangor menyebabkan ramai yang meluahkan rasa kecewa terhadap kerajaan negeri dan persekutuan disebabkan kelewatan menyelamatkan mangsa yang terkandas.

Paras air yang meningkat secara mendadak selepas hujan lebat berterusan selama beberapa hari menyaksikan kawasan perumahan seperti di Taman Sri Muda di Shah Alam ditenggelami air hingga menyebabkan penghuni terpaksa “bermalam” di bumbung rumah mereka, menambahkan lagi kekecewaan yang diluahkan di media sosial seperti Twitter dan Facebook.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) antara yang dipersalahkan pengguna internet selepas sebuah portal melaporkan agensi itu menghalang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengerakkan aset bagi menyelamatkan mangsa banjir.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Nadma sebelum ini.

Ketua Pengarah Nadma Aminuddin Hassim berkata, individu atau agensi yang bertanggungjawab apabila berlakunya banjir berbeza mengikut kapasiti bencana itu sendiri.

Katanya apabila banjir berlaku melibatkan lebih dari satu negeri, maka misi bantuan banjir akan diketuai oleh perdana menteri yang akan mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat manakala sekretariatnya ialah Nadma.

“Sekiranya perdana menteri tiada, maka Nadma akan membuat keputusan secara langsung,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jadi kita akan arahkan panglima angkatan tentera untuk siapkan mekanisme, polis akan diminta dirikan pusat operasi di setiap kawasan bencana dan memastikan segalanya siap dan sedia untuk beroperasi.”

Aminuddin berkata, persiapan menghadapi bencana banjir di peringkat pusat sebenarnya sudah dilakukan sejak 13 September lalu apabila Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

“Ini bermaksud PM sudah tentukan apakah persiapan yang hendak kita laksanakan, berapa banyak petugas yang bersdia dan di mana pusat pemindahan sementara, di mana tempat kumpul makanan dan apakah peranan Jabatan Kesihatan Negeri dan sebagainya,” katanya.

“Jadi semua agensi dah tahu peranan masing-masing pada tarikh tersebut.

“Di sini juga ada jabatan teknikal seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang menyatakan bahawa akan ada monsun Timur Laut atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh bermula November hingga Mac.”

Menurut Aminuddin, dalam tempoh 13 September hingga November, semua kerajaan negeri sewajarnya perlu aturkan mesyuarat pengurusan bencana masing masing untuk membuat penilaian risiko.

Menerusi langkah ini katanya, pihak berkuasa dapat membuat jangkaan bagaimana bencana itu akan berlaku, dan semakan kekuatan pegawai dan anggota serta aset seperti bot dan lori untuk dikerahkan ketika musibah berlaku.

“Dalam situasi ini, semua agensi akan lapor kepada perdana menteri, sekiranya PM tiada, maka mereka akan lapor kepada Nadma,” katanya.

Mengulas mengenai banjir besar yang menyebabkan beberapa kawasan di Selangor “lumpuh”, Aminuddin berkata pihaknya dimaklumkan oleh pegawai daerah (DO) mereka sudah bersedia namun tidak mempunyai aset yang mencukupi.

Menurutnya, peristiwa ini harus dijadikan pengajaran untuk negeri-negeri yang merasakan tiada ancaman ketara oleh kejadian banjir.

“Kita pun sedia tahu perubahan iklim sudah mula dirasai dan semakin menjadi kebimbangan utama,” katanya.

“Insiden banjir lumpur di Gunung Jerai, Kedah merupakan antara petanda perubahan cuaca luar biasa pada tahun ini.”

Pengajaran

Mengulas lanjut, Aminuddin mengingatkan semua pihak supaya mengambil pengajaran susulan kesan banjir di Selangor dan terus memantapkan persediaan pada masa hadapan.

“Apabila Jawatankuasa Pengurusan Bencana bersidang pada 13 September, ada ruang untuk mereka membuat persiapan sewajarnya.

“Kita turut menjalankan simulasi jika berlaku senario tertentu supaya dapat bertindak balas dengan cepat,” katanya dan menambah Pahang, Terengganu dan Kelantan antara negeri yang kerap membuat simulasi tersebut.

Aminuddin turut menjelaskan apabila berlaku banjir pada skala kecil seperti di satu daerah sahaja, maka DO diberi tanggungjawab untuk mengetuai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan menggerakkan mekanisme di bawahnya.

“DO akan arahkan polis untuk menyediakan bilik gerakan, Angkatan Pertahanan Awam pula aturkan bilik sekretariat dan responden untuk bantuan dan segalanya,”

Namun begitu, Aminuddin berkata, apabila berlaku banjir melibatkan lebih dari satu daerah dalam negeri tersebut, maka setiausaha kerajaan negeri (SUK) selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan mengetuainya.

Katanya, menteri besar atau ketua menteri boleh mengetuai misi bantuan banjir, namun beban tanggungjawab akan tetap dipikul oleh SUK.

“Polis, tentera, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah penjawat awam, jadi ketua penjawat awam ialah SUK,” katanya.