- Iklan -
Berita

Tradisi Krismas dikekalkan di kampung etnik Portugis Melaka

Walau masih ada sekatan Covid-19, penduduk kampung tidak sabar meraikan Krismas dengan tradisi mereka yang unik.

Danisyah Dalily
3 minit bacaan
Kongsi
Anak muda kampung Portugis menyanyikan lagu Krismas. Hanya satu kumpulan carol dibenarkan untuk menjalankan aktiviti ini ekoran pandemik Covid-19.
Anak muda kampung Portugis menyanyikan lagu Krismas. Hanya satu kumpulan carol dibenarkan untuk menjalankan aktiviti ini ekoran pandemik Covid-19.

Setiap tahun, penduduk Melaka berketurunan Portugis menyambut Krismas dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan, mereka berpegang teguh dengan tradisi nenek moyang yang tiba di negeri itu ratusan tahun lalu.

Tahun lalu, pandemik Covid-19 menyuramkan suasana perayaan itu, mereka mengharapkan suasana Krismas yang lebih baik kali ini.

Sejak beberapa minggu lalu, penduduk membuat persiapan dengan penuh semangat bagi sambutan Hari Krismas.

Di dapur rumahnya, Marie Theisera sedang sibuk membakar kek sempena Krismas kali ini.

Sebahagian daripada kek itu adalah untuk dinikmati keluarganya manakala sebahagian lagi akan dihantar kepada pelanggan.

Marie menerima tempahan kek perayaan itu seawal Oktober lalu.

Kek utama yang disediakannya adalah kek suji, selain itu, dia turut menyiapkan kek buah untuk meraikan perayaan Krismas kali ini.

“Bagi kami orang Eurasia, kek suji sangat penting semasa Krismas,” katanya kepada MalaysiaNow.

Marie sibuk menyiapkan kek Suji sempena Krismas tahun ini.

Manisan lain yang wajib ada termasuk susagong, bajik, dodol, tart dan bolu koku yang sangat sinonim dengan masyarakat Eurasia.

“Saya fikir hanya orang Eurasia yang membuatnya,” kata Marie.

Sudah lebih 30 tahun Marie membuat kek itu, ia menjadi sebahagian daripada rutinnya setiap kali menyambut Krismas.

Dari Oktober hingga November, dia akan menyiapkan kek buah dan selepas itu Marie akan membuat kuih tart nanas.

Dia akan menamatkan aktiviti membuat kek dan kuih muih dengan menyiapkan kek suji yang tidak boleh disimpan terlalu lama.

Tradisi memainkan peranan besar kepada penduduk kampung yang berketurunan Portugis setiap kali Krismas tiba.

Walaupun ramai daripada mereka yang berkahwin dengan pasangan daripada kaum dan agama lain.

Namun apabila tiba Krismas, tradisi perayaan itu tetap kekal dan tidak berubah.

Kek suji yang hasil tangan Marie Theisera merupakan kek tradisi Krismas di masyarakat Portugis Melaka.

Sudah bertahun tradisi tersebut diamalkan di Ujong Pasir, menjadikannya destinasi popular bagi pelancong yang datang dari dekat dan jauh untuk menikmati suasana Krismas yang unik.

Selepas kelonggaran sekatan Covid-19 diumumkan kerajaan susulan kejayaan program vaksinasi kebangsaan, penduduk kampung kini berharap sanak-saudara yang jauh dan dekat dapat pulang ke kampung bagi meraikan Krismas tahun ini.

Walaupun sambutan dijangka lebih meriah daripada tahun lalu, prosedur operasi standard (SOP) yang utama akan tetap dipantau sepanjang musim perayaan.

Tidak seperti biasa, tradisi “carolling” dari rumah ke rumah tetap tidak dibenarkan walaupun penduduk kampung dibenarkan mengadakan persembahan terbuka dengan kebenaran polis selain perlu melaksanakan SOP penjarakan fizikal yang ketat dan mereka diwajibkan memakai pelitup muka.

Jika tidak kerana Covid-19, Krismas di kampung itu akan meriah dengan kumpulan penyanyi muda dan tua yang akan berjalan di sekitar kampung untuk menyanyikan lagu-lagu Krismas.

Namun tahun ini, hanya satu kumpulan dibenarkan membuat persembahan, dan penduduk kampung mengkhususkan tempat bagi aktiviti kanak-kanak yang teruja menyambut Krismas.

Nativity scene atau kelahiran Jesus antara hiasan Krismas utama menyerikan perayaan di Ujong Pasir.

Hiasan Krismas juga boleh dilihat di setiap rumah, kalungan bunga susunan hiasan “kelahiran Jesus” juga turut menghiasi perayaan Krismas di kampung itu.

Sementara itu, lampu kelip juga turut digantung di rumah-rumah, menerangi seluruh kawasan kejiranan itu pada waktu senja.

Terdapat juga hiasan tradisi Portugis “lalerlaler” – di mana kulit kerang yang dihancurkan ditaburkan di halaman depan rumah dan jalan.

Bekas ketua kampung Ujong Pasir, Peter Gomes berkata nenek moyang mereka menggunakan lalerlaler untuk meniru suasana bersalji.

“Kita tidak ada salji di sini, jadi kami gunakan lalerlaler untuk hidupkan suasana. Ia adalah satu tradisi kami di sini.

“Kami tinggal di tepi laut, jadi pada waktu itu nenek moyang kami akan menggunakan lalerlaler untuk hiasan kerana itu adalah satu-satunya benda yang ada.”

Setiap tahun, lalerlaler dari Krismas tahun sebelumnya akan dibuang dan diganti baru – ia adalah sebahagian daripada tradisi penduduk kampung Portugis itu.

Mereka berharap amalan tradisi yang ada akan terus kekal sehingga generasi akan datang, supaya orang yang melawat kampung itu akan dapat berkongsi cara mereka menyambut Krismas.

Seperti semua warga Malaysia yang lain, harapan dan doa mereka pada Krismas kali ini adalah supaya pandemik akan segera berakhir supaya rakan dan keluarga dapat berkumpul bersama seperti dahulu.