Di sebuah pondok kayu kecil yang terletak di kaki bukit sebuah hutan di Perak, sekumpulan remaja membakar kayu di atas tanah yang keras.
Di unggun api itu, mereka menyusun lemang buluh yang sudah berisi beras pulut untuk dibakar.
Ketika membakar susunan lemang itu, berkepul asap memenuhi udara sekitar pondok, bahang menitikkan peluh mereka ketika menjaga api.
Namun mereka tetap setia menjaganya, bagi memastikan lemang dimasak dengan baik.
Masakan tradisional itu sering dikaitkan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi umat Islam di negara ini.
Namun, di kampung kecil ini, ia merupakan hidangan utama bersama sanak saudara akan pulang ke kampung halaman bagi meraikan Krismas.
Di sebuah rumah kecil di seberang jalan pula, kelihatan kaum wanita sedang sibuk menyediakan hidangan perayaan lain.
Bunyi periuk dan kuali berlaga kedengaran ketika sajian ayam dan daging babi dimasak secara bergilir-gilir.
Jalan menuju ke Kampung Pos Slim itu agak sempit dan berliku, laluannya tidak lurus dan curam mendaki Cameron Highlands.
Kampung itu terletak di sebelah sungai, dengan jambatan merintangi antara dua batas yang menghubungkan jalan utama ke kawasan penempatan Orang Asli ini.
Di sini, kira-kira 500 Orang Asli Semai tinggal di rumah kayu yang terpencar di seluruh kawasan kampung.
Ada beberapa keluarga yang beragama Islam, namun majoriti penduduk adalah penganut Kristian.
Bah Alang Sekena yang merupakan ketua kampung atau tok batin, berkata Orang Asli Kampung Pos Slim itu sudah lama mengamalkan ajaran Kristian, sekurang-kurangnya sejak generasi ibu bapanya.
“Seperti penganut Kristian lain, kami sambut Krismas,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Tetapi kami meraikannya mengikut budaya kami sendiri.”
Ketika ahli keluarga Orang Asli Semai yang tinggal dan bekerja di tempat lain dalam perjalanan pulang ke kampung untuk meraikan Krismas bersama keluarga, kerja masak-memasak secara gotong-royong itu semakin rancak.
Aktiviti itu dijalankan sehingga tengah hari.
Makanan disediakan dan dimasak di tempat terbuka, di mana keluarga demi keluarga akan datang untuk mengambil bahagian mereka.
Bah Alang berkata, pesta Krismas diadakan beberapa hari sebelum tarikh sebenar Hari Krismas.
“Kita ingin menghormati Tuhan seperti seorang anak menghormati bapanya,” katanya.
Walaupun sambutan Krismas itu dijalankan secara bersama-sama, namun perayaan kali ini kurang meriah berbanding sebelum pandemik Covid-19.
“Tidak ada Christmas carol atau nyanyian. Ada perjumpaan kecil, setiap keluarga sambut di rumah masing-masing,” katanya
Katanya, akitiviti ziarah ke kampung-kampung lain tiada ketika sambutan Krismas kali ini.
“Hendak melawat kampung lain pun tak boleh,” kata Bah Alang.
Ketika matahari mulai terbenam, kanak-kanak kampung akan mempersembahkan tarian manakala orang tua menikmati muzik Krismas yang dimainkan melalui set pembesar suara.
Walaupun sekatan Covid menyebabkan pertemuan keraian itu tidak dapat dihadiri penduduk secara beramai-ramai, suasana tetap meriah dan ceria.
Bah Alang berkata kebanyakan Orang Asli mengelak daripada berhubung dengan orang luar sepanjang wabak melanda.
Mereka juga sentiasa dipantau pihak berkuasa.
Penduduk kampung bimbang mereka dikenakan denda sehingga RM1,000 jika tidak patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid.
Menurut Bah Alang, ramai daripada mereka yang dikenakan kompaun itu tidak boleh membaca atau menulis dan didenda kerana gagal mendaftarkan diri sebelum memasuki kedai dan premis awam lain.
Krismas kali ini, pastor tidak ada bersama mereka, namun pembantunya Henry Asmadi ditugas bagi sambutan perayaan itu.
Suasana kampung ketika perayaan Krismas mungkin tidak dipenuhi dengan pelbagai hiasan sambutan yang biasa dilihat ketika penganut Kristian menyambut perayaan itu.
Namun, jelas sekali semangat perayaan dan kegembiraan yang ditunjukkan pada wajah penduduk kampung.
Walaupun jauh dari kesibukan bandar dan lampu neon pusat beli-belah, selain tidak kelihatan pokok Krismas didirikan, Orang Asli tetap ceria meraikan musim perayaan ini, penuh gembira dan santai.
“Ramai Orang Asli bekerja di kuari di bawah,” kata Henry, 18, kepada MalaysiaNow.
“Pada hari Krismas kita berehat.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.