- Iklan -
Berita

Agensi kementerian pengangkutan diminta siap siaga gelombang kedua banjir

Menurut Wee Ka Siong, agensi di bawah kementerian pengangkutan akan membantu sedaya upaya dan sudah bersiap siaga membantu mangsa banjir.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Keadaan kenderaan yang ditenggelami air banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. kecurian kenderaan rosak menjadi kebimbangan orang ramai susulan banjir yang melanda beberapa negeri di semenanjung.
Keadaan kenderaan yang ditenggelami air banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. kecurian kenderaan rosak menjadi kebimbangan orang ramai susulan banjir yang melanda beberapa negeri di semenanjung.

Semua agensi di bawah Kementerian Pengangkutan diminta supaya bersiap siaga berdepan gelombang kedua banjir dalam negara, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Wee berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha kementerian itu supaya kesemua agensi berkenaan membuat persediaan awal berdepan banjir.

Menurut Wee, beliau sudah meminta semua agensi untuk melihat situasi semasa dan memaklumkan perkembangan kepada pihak kementerian, dengan setiap langkah yang diambil perlu berdasarkan SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan.

“Salah satunya sepertimana yang telah dilakukan oleh CEO ataupun presiden Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) iaitu apabila dalam keadaan terdesak, rakyat tiada tempat nak pergi, terpaksa lari ke stesen.

Jadi itulah tempat yang mereka berteduh, itulah tempat yang kita sudi menerima mereka, dan kita akan atur untuk bagaimana kita nak jadikan tempat itu sebagai PPS (pusat pemindahan sementara), ini sebagai satu contoh,” katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan bersetuju mewujudkan pasukan petugas khas pasca banjir dan untuk persediaan menghadapi banjir gelombang kedua.

Wee berkata agensi di bawah kementerian pengangkutan akan membantu sedaya upaya dan sudah bersiap siaga membantu mangsa banjir.

“Beberapa negeri pun saya rasa mereka ada mesyuarat dan pagi tadi saya berbincang dengan beberapa pihak, dan saya nampak persediaan kita memang teratur, untuk perkhidmatan pengangkutan awam, seperti bas dan rel, kita sentiasa memantau.

“Apabila banjir berlaku dan ada stesen tertentu terpaksa ditutup kerana air yang deras, atas faktor keselamatan, kita akan pastikan ianya akan dilakukan mengikut SOP,” katanya.

Katanya ia termasuk KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad), APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat), JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan Jabatan Laut bersiap siaga untuk membantu.

Pada 21 Disember, Wee dilaporkan berkata mangsa banjir diberi pengecualian daripada membayar yuran penggantian lesen kenderaan motor (LKM), lesen memandu Malaysia (LMM) dan sijil pemilikan kenderaan (VOC).

Menurut Wee, tiada tempoh ditetapkan bagi mangsa menggantikan dokumen berkenaan memandangkan masing-masing mempunyai urusan penting lain seperti menguruskan rumah dan keluarga.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.