Jumlah perdagangan Malaysia melepasi aras RM2 trilion buat pertama kalinya, berkembang 24.6% tahun ke tahun kepada RM2.01 trilion bagi tempoh Januari hingga November 2021.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, dalam tempoh itu eksport meningkat 25.7% kepada RM1.11 trilion, import naik 23.3% kepada RM894.42 bilion dan lebihan dagangan bertambah 36.2% kepada RM221.53 bilion.
Dalam kenyataan hari ini, katanya bagi 11 bulan pertama 2021, kesemua barangan telah merekodkan pertumbuhan eksport, kecuali kelengkapan pengangkutan serta barangan minuman dan tembakau.
“Eksport barangan perkilangan berkembang 25.3% tahun ke tahun kepada RM961.89 bilion, dipacu oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, barangan perkilangan logam, keluaran getah serta kimia dan bahan kimia,” katanya.
Matrade berkata eksport keluaran pertanian meningkat 37.3% tahun ke tahun kepada RM87.03 bilion berikutan eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit dan getah asli.
Selain itu, katanya eksport hasil galian naik 17.8% tahun ke tahun kepada RM62.78 bilion, didorong oleh pertambahan eksport gas asli cecair (LNG), bijih logam dan serpihan logam serta petroleum mentah.
Dalam pada itu, menurutnya perdagangan melepasi aras RM200 bilion untuk kali kedua berturut-turut pada November 2021, menjadikannya kepada pertumbuhan dua digit ke-10 bulan berturut-turut sejak Februari 2021.
Pada bulan itu, jumlah perdagangan berkembang 34.9% tahun ke tahun kepada RM205.5 bilion berikutan eksport meningkat 32.4 peratus tahun ke tahun kepada RM112.2 bilion – pengembangan tahun ke tahun ke-15 bulan berturut-turut sejak September 2020 – manakala import naik 38% tahun ke tahun kepada RM93.3 bilion.
Lebihan dagangan meningkat 10.5% tahun ke tahun kepada RM18.9 bilion.
Matrade berkata kesemua sektor utama merekodkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun yang disumbangkan oleh kenaikan eksport kesemua barangan kecuali keluaran getah dan petroleum mentah.
Menurutnya eskport barangan E&E meningkat 17.4% tahun ke tahun kepada RM40.04 billion, merangkumi 35.7% daripada jumlah eksport pada November 2021.
“Keluaran petroleum melonjak 111.6% kepada RM9.65 bilion dan menyumbang 8.6% daripada jumlah eksport, manakala eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, meningkat 97.4% tahun ke tahun kepada RM7.91 bilion dan menyumbang 7.1% daripada jumlah eksport,” katanya.
Matrade berkata eksport kimia dan bahan kimia meningkat 45.9% tahun ke tahun kepada RM6.51 bilion dan merangkumi 5.8% daripada jumlah eksport, manakala barangan perkilangan logam melonjak 75.9% tahun ke tahun kepada RM5.74 bilion dan menyumbang 5.1% daripada jumlah eksport.
Sementara itu, katanya eksport ke pasaran utama khasnya Asean, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit pada November 2021, manakala eksport ke Asean dan AS mencatatkan nilai bulanan tertinggi.
Asean menyumbang 27.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia dengan perdagangan dan eksport merekodkan nilai bulanan tertinggi pada November 2021, berkembang 45.5% tahun ke tahun kepada RM56.63 bilion.
Eksport melonjak 39.4% tahun ke tahun dan import naik 54.8% tahun ke tahun.
Sementara itu, dagangan dengan China yang menyerap 18.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 26.1% tahun ke tahun kepada RM37.92 bilion, manakala eksport meningkat 20.5% dan import naik 31.2%.
Matrade berkata eksport ke AS turut mencatatkan nilai tertinggi pada November 2021, meningkat 33.5% tahun ke tahun kepada RM13.03 bilion.
“Import dari AS naik 18.1% tahun ke tahun kepada RM6.69 bilion, justeru jumlah perdagangan dengan AS meningkat 27.9% tahun ke tahun kepada RM19.72 bilion,” katanya sambil menyatakan perdagangan dengan AS menyumbang 9.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada bulan itu,” katanya.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, MATRADE berkata perdagangan dan import Malaysia masing-masing berkembang 1.5 peratus dan 5.9%, manakala eksport dan lebihan dagangan masing-masing berkurangan sebanyak 1.9% dan 28.1%.