Amerika Syarikat pada Selasa mengecam serangan tentera Myanmar di negeri Kayah, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh pada 24 Disember.
Mangsa serangan termasuk wanita dan kanak-kanak serta dua kakitangan organisasi bantuan antarabangsa Save the Children, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Kami khuatir dengan kekejaman rejim tentera di Burma (Myanmar), termasuk serangan terbaru di Kayah dan Karen,” kata Setiausaha Negara AS Antony Blinken dalam satu kenyataan.
“Serangan menyasarkan orang tidak bersalah dan mereka yang terlibat dalam misi kemanusiaan adalah suatu yang tidak boleh diterima, dan menunjukkan pihak tentera bertanggungjawab bagi kejadian serangan itu,” kata diplomat tertinggi itu.
Blinken menggesa masyarakat antarabangsa melakukan lebih banyak bagi mencegah kekejaman di Myanmar daripada berulang, termasuk menghentikan penjualan senjata dan teknologi dwi-guna kepada tentera.
Tentera Myanmar yang dikenali sebagai Tatmadaw, melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari lalu dan menangkap pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) diketuai pemenang Hadiah Nobel Aung San Suu Kyi, dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada awal bulan ini.
Lebih 1,000 orang terbunuh manakala lebih 5,400 yang lain ditangkap pasukan junta, dan kebanyakannya telah dibebaskan.