- Iklan -
Berita

Kerajaan umum RM1.4 bilion peruntukan bantuan mangsa banjir

Bantuan Banjir Keluarga Malaysia itu turut termasuk wang tunai, pembersihan, dan pembaikan bagi mangsa banjir di lapan negeri.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Beberapa mangsa banjir menjalani kehidupan mereka dengan berkhemah pada tapak rumah yang telah musnah akibat dilanda banjir dan bah di Jalan Sungai Lui, Hulu Langat.
Beberapa mangsa banjir menjalani kehidupan mereka dengan berkhemah pada tapak rumah yang telah musnah akibat dilanda banjir dan bah di Jalan Sungai Lui, Hulu Langat.

Kerajaan memperuntukkan RM1.4 bilion bagi membantu mangsa banjir, termasuk bantuan tunai, pembersihan dan pembaikan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam kenyataannya hari ini, Ismail mengucapkan takziah kepada seluruh mangsa banjir dan berkata kerajaan akan memastikan segala bantuan dan kemudahan akan dilaksanakan secara komprehensif di bawah inisiatif Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Menurutnya, di bawah inisiatif itu Bantuan Wang Ihsan akan ditambah baik termasuk RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir dan RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia.

Beliau juga berkata kerajaan akan menyalurkan bantuan tersebut kepada semua yang terkesan termasuk yang tidak berpindah ke pusat pemindahaan sementara (PPS).

“Mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali sahaja semasa berlakunya Monsun Timur Laut.

“Bagi tujuan ini, saya mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini,” katanya.

Hujan lebat bulan ini menyebabkan banjir di lapan negeri, mengorbankan 48 nyawa setakat ini dan menyebabkan 70,000 yang kehilangan tempat tinggal terpaksa dipindahkan ke PPS.

Hari ini, Jabatan Meteorologi meramalkan banjir gelombang kedua mungkin berlaku di empat buah negeri termasuk Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan bermula 31 Disember.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.