- Iklan -
Berita

Putrajaya tangguh perjalanan umrah bimbang penularan Omicron

Bakal jemaah akan mendapat bayaran balik atau dijadual semula perjalanan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Suasana penumpang yang menunggu bagasi di KLIA. Penumpang penerbangan antarabangsa turut memakai pakaian pelindung lengkap bagi mengelak jangkitan Covid-19. Gambar: Bernama
Suasana penumpang yang menunggu bagasi di KLIA. Penumpang penerbangan antarabangsa turut memakai pakaian pelindung lengkap bagi mengelak jangkitan Covid-19. Gambar: Bernama

Bakal jemaah umrah yang tidak dapat mengerjakan ibadah itu susulan kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah bermula 8 Januari ini, akan mendapat bayaran balik atau dijadualkan semula perjalanan mereka.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementerian kesihatan (KKM) sedang berbincang dengan kementerian pelancongan, seni dan budaya (Motac) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) untuk membantu semua bakal jemaah umrah yang terkesan dengan penangguhan itu.

“Memang kita dah bincang dengan mereka bagaimana mereka yang terkesan ini dapat sama ada menjadualkan semula umrah mereka dan langkah untuk dapat bayaran balik selain kita juga akan terus adakan sesi libat urus dengan agensi pelancongan.

“Saya minta maaf kepada mereka yang nak pegi umrah tetapi mudarat yang besar adalah kesihatan awam…tidak ada menteri beragama Islam yang ingin tangguhkan ibadah umrah, tetapi ini perkara yang serius, ini bukan tweet di media sosial, ini bukan video di Tiktok, ini adalah kehidupan anda,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Kerajaan hari ini menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan bagi membendung penularan Omicron, susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di tempat kediaman.

Ditanya mengenai kos kuarantin wajib di pusat kuarantin yang akan dikenakan kepada jemaah umrah, Khairy berkata mereka mempunyai pilihan sama ada untuk menanggung sendiri bayaran kos kuarantin di hotel yang akan disenaraikan oleh KKM atau menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang menguruskan stesen kuarantin yang sesuai dan selesa untuk menempatkan para jemaah dan berkemungkinan melibatkan kemudahan kerajaan yang telah digunakan sebagai pusat kuarantin sebelum ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata KKM sedang mengkaji berkenaan suntikan dua dos vaksin Covid-19 jenis Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer-BioNTech yang didakwa menunjukkan tindak balas imun yang rendah melawan Omicron, berbanding varian lain.

“Kita telah terima berita tersebut, kumpulan teknikal sedang mengkaji maklumat yang diperoleh dan mereka akan buat syor kepada CITF (Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19).

“Sama ada mereka yang telah terima Sinovac, Sinovac, Pfizer mesti dilengkapi dengan satu dos lagi, tetapi masih terlalu awal untuk buat apa-apa kesimpulan buat masa ini tetapi kita dah tahu berita tersebut dan sedang dikaji,” katanya.

Media melaporkan kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik dari Universiti Yale, Kementerian Kesihatan Republik Dominican serta beberapa institusi lain mendapati dua suntikan vaksin Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer-BioNTech menunjukkan tindak balas imun yang rendah melawan Omicron, berbanding varian lain.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.