- Iklan -
Berita

Pasaran kerja sukar 2021 sebabkan graduan pilih perkhidmatan awam?

Walaupun gaji permulaan di sektor awam mungkin lebih rendah, namun faktor lain seperti jaminan pekerjaan, elaun dan faedah menjadikan kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam sebagai pilihan menarik.

Danisyah Dalily
3 minit bacaan
Kongsi
Keadaan ekonomi yang masih bergelut akibat pandemik menyebabkan ramai graduan baru memilih untuk bekerja di sektor perkhidmatan awam.
Keadaan ekonomi yang masih bergelut akibat pandemik menyebabkan ramai graduan baru memilih untuk bekerja di sektor perkhidmatan awam.

Ketika warga Malaysia sedang bersiap sedia untuk menghadapi tahun baru dalam suasana pandemik Covid-19 masih berlanjutan, golongan makan gaji terutama graduan yang baru melibatkan diri dalam pasaran buruh mungkin lebih senang memilih sektor perkhidmatan awam sebagai satu cara untuk menjamin kerjaya ketika kebimbangan ramai berhubung ketidaktentuan ekonomi yang berlarutan baik di peringkat nasional mahupun global.

Graduan baru adalah antara golongan yang paling terjejas teruk akibat kegawatan ekonomi yang timbul berikutan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara bagi membendung pandemik Covid-19.

Dalam tempoh dua tahun, banyak operasi perniagaan terpaksa ditutup sementara perniagaan yang masih beroperasi terpaksa bergelut dalam usaha memulihkan keadaan kewangan yang mencabar.

Bagi graduan yang baru menceburi pasaran kerja buat kali pertama, perkara pertama yang menjadi cabaran mereka adalah soal gaji.

Kerajaan berjanji untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan baru tahun ini melalui skim JanaKerja dan program kemahiran semula dan peningkatan kemahiran.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan peluang perantisan bagi graduan baru melalui inisiatif MyStep.

Setakat 30 November, ia berjaya mewujudkan kira-kira 497,000 pekerjaan – melebihi 99% daripada sasarannya bagi tahun ini.

Namun persoalan gaji masih kekal menjadi pertimbangan dan perdebatan ramai sehingga beberapa pemimpin kerajaan menerima kecaman ekoran kenyataan-kenyataan mereka mengenai perkara tersebut.

Pada April contohnya, menteri di Jabatan Perdana Menteri yang berperanan dalam isu-isu ekonomi, Mustapa Mohamed berkata graduan harus bersyukur dengan kerja bergaji rendah.

Mustapha berkata gaji rendah yang ditawarkan itu adalah berpunca daripada pasaran pekerjaan yang lemah akibat ekonomi menyusut 5.6% pada 2020.

Dalam pada itu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berkata gaji RM2,000 yang ditawarkan kerajaan melalui MyStep disambut baik oleh graduan baru.

Bagi gmereka, katanya, faktor jaminan keselamatan dilihat ada pada pekerjaan sedemikian sehingga ia menjadi faktor yang lebih menarik minat.

“Ramai graduan yang menganggur berminat untuk bekerja di bawah MyStep walaupun bagi jangka waktu yang pendek dan gaji yang lebih rendah,” kata presiden MEF Syed Hussain Syed Husman.

“Ini kerana graduan melihat MyStep sebagai jalan untuk mereka menimba pengalaman dalam persekitaran kerajaan, GLC atau GLIC. Mereka menggunakan MyStep sebagai batu loncatan untuk meneruskan pekerjaan tetap di bawah perkhidmatan awam,” katanya kepada MalaysiaNow.

Walaupun gaji RM2,000 mungkin dianggap tidak begitu banyak terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar Lembah Klang, namun Syed Hussain berkata pertimbangan lain turut diambil kira oleh graduan baru.

Menurutnya, selain jaminan pekerjaan, faktor lain yang menjadi pertimbangan termasuk gaji yang kompetitif, tawaran elaun dan faedah seperti faedah perubatan yang meliputi seluruh keluarga, pencen, pinjaman perumahan dan kereta serta biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.

Namun pada akhirnya, kata Syed Hussain, keselamatan pekerjaan kekal sebagai salah satu faktor terpenting walaupun terdapat peluang lain untuk menjana pendapatan seperti e-sukan dan penciptaan kandungan.

“Aktiviti-aktiviti seperti itu tidak memberikan aliran pendapatan berterusan dan menyukarkan komitmen jangka panjang termasuk komitmen kewangan.

“Kestabilan pekerjaan adalah antara faktor terpenting yang menyumbang kepada minat generasi muda untuk menyertai perkhidmatan awam,” katanya sambil menambah penjawat awam juga sukar untuk kehilangan kerja.

Menurut perangkaan kerajaan, walaupun bilangan rakyat Malaysia yang bekerja meningkat tiga bulan berturut-turut pada Februari dengan 33,000 orang menceburi pasaran buruh, kadar pengangguran bagi yang berumur 15 hingga 24 tahun meningkat sebanyak 0.4% pada Februari kepada 13.9%, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 347,600 berbanding 295,300 pada Januari.

Menurut Syed Hussain, pasaran buruh dan keadaan situasi gaji bagi graduan baru mungkin tidak berubah dalam jangka masa terdekat.

Beliau berkata ramai majikan tidak bersedia untuk menaikkan gaji pekerja kerana ekonomi masih belum benar-benar pulih.

Beliau turut berkata ramai majikan kini dalam “keadaan bertahan”, terutama selepas banjir melanda Selangor baru-baru ini.

“Rakyat Malaysia perlu faham bahawa pasaran pekerjaan tidak dapat menyerap jumlah graduan yang kita hasilkan setiap tahun,” katanya.

“Pengambilan pekerja baru biasanya adalah disebabkan persaraan dan pengembangan perniagaan, namun faktor ini tidak akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dalam pai ekonomi sekarang ini.”

Menurut Syed Hussain, satu-satunya jalan ke hadapan adalah dengan membawa lebih banyak pelaburan langsung asing bagi industri baru supaya ia dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan.

Namun, beliau menegaskan gaji rendah untuk graduan mungkin menjadi fenomena sementara, sambil menambah keadaan berubah sebaik sahaja situasi ekonomi kembali normal.