- Iklan -
Berita

Singapura didakwa intimidasi peguam menjelang rayuan gugur hukuman mati Nagaenthran

Lawyers for Liberty berkata peguam Nagaenthran Dharmalingam menerima 'tekanan tidak wajar' termasuk perintah puluhan ribu dolar menjelang perbicaraan pada 24 Januari depan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam M Ravi di luar mahkamah Singapura pada November 2021 menjelang perintah mahkamah mengenai rayuan untuk menggugurkan hukuman mati terhadap Nagaenthran K Dharmalingam. Gambar: AFP
Peguam M Ravi di luar mahkamah Singapura pada November 2021 menjelang perintah mahkamah mengenai rayuan untuk menggugurkan hukuman mati terhadap Nagaenthran K Dharmalingam. Gambar: AFP

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) memberi amaran terhadap pihak berkuasa Singapura supaya tidak melakukan intimidasi terhadap peguam yang mewakili Nagaenthran K Dharmalingam menjelang perbicaraan bagi mengenepikan hukuman mati yang dijadualkan pada 24 Januari depan selepas diberikan penangguhan pada Disember.

Penasihat LFL N Surendran berkata peguam hak asasi terkemuka M Ravi mengalami “intimidasi, penindasan dan tekanan yang tidak wajar” dari pihak berkuasa republik itu sejak Nagaenthran diberikan penangguhan hukumannya susulan diagnosis jangkitan Covid-19 sebelum percubaan terakhir bagi menghentikan hukuman terhadapnya pada 9 November tahun lalu.

“Gangguan itu termasuk puluhan ribu perintah kos peribadi yang dibuat mahkamah terhadap Ravi dengan arahan peguam negara susulan usaha Ravi yang mempertikaikan hukuman mati,” kata Surendran.

“Perintah kos peribadi sebegini terhadap seorang peguam yang mewakili kes-kes berkait hukuman mati adalah satu bentuk penindasan dan tidak pernah didengar dalam bidang kuasa Komanwel yang mematuhi kedaulatan undang-undang,” katanya sambil menambah Ravi turut diugut dengan aduan disiplin dan siasatan polis yang “tidak berasas”.

Nagaenthran ditahan pada 2009 kerana membawa masuk 43g heroin ke Singapura yang mempunyai undang-undang tegas berhubung kesalahan dadah.

Nagaenthran didiagnosis mempunyai kekurangan upaya mental dengan memiliki IQ sebanyak 69 – satu angka di bawah nilai ambang 70 bagi membolehkan seseorang diisytiharkan sebagai seorang orang kurang upaya (OKU) mental.

Bagaimanapun, dia dijatuhi hukuman mati pada tahun berikutnya dan dijadualkan menjalani hukuman gantung pada 10 November 2021 selepas gagal dalam beberapa rayuan di mahkamah.

Hukuman itu menerima kecaman orang ramai dan turut membuatkan pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengutus surat rayuan berhubung kesnya.

Kes itu juga turut menarik perhatian seorang taikun Britain Richard Branson yang menggesa kerajaan Singapura memberikan pengampunan kepada Nagaenthran.

LFL berkata perintah mahkamah bagi urusan pemfailan dokumen dengan tarikh akhir yang pendek dikenakan terhadap Ravi walaupun pihak berkuasa tahu peguam itu masih dalam tempoh bercuti sakit selama sebulan.

“Niatnya jelas untuk menghalang Ravi daripada terus melakukan cabaran undang-undang berhubung kes Nagaenthran dan kes-kes lain,” katanya lagi.

Selain itu, LFL turut menambah cabaran yang dikemukakan Ravi sejak beberapa tahun lalu memberi “malu besar” kepada Singapura kerana ia menunjukkan “ketidakadilan dan kekejaman” penggunaan hukuman mati.

LFL juga menggesa kerajaan Singapura untuk menghentikan semua taktik intimidasi, penindasan dan tekanan tidak wajar terhadap peguam.

“Kami juga menggesa badan kehakiman untuk menarik semula perintah mahkamah yang tidak adil terhadap Ravi dan memastikan pendengaran dilakukan dengan bebas dan adil berhubung permohonan dan rayuan yang masih tertangguh,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.