Mangsa banjir di KL diberi pengecualian bayaran bil air secara automatik
Mangsa banjir di beberapa kawasan di Kuala Lumpur tidak perlu mengisi sebarang borang pengecualian bayaran bil air.
Terkini
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memberikan pengecualian bayaran bil bagi bulan Januari 2022 kepada pelanggan akaun Domestik (Kod Tarif 10) di sembilan kawasan di ibu negara yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.
Air Selangor dalam satu kenyataan berkata, antara kawasan yang layak menerima pengecualian bayaran bil itu ialah Kampung Pasir, Jalan Batu Bata dan Jalan Rahmat (berhampiran WTC KL), Jalan Raja Chulan, Kampung Chubadak, Kampung Delima, Kampung Kasipillay, Kampung Kolam Air, Lorong Jambu Laut, dan Lorong Raja Mahadi.
Menurut Air Selangor, pelanggan yang berada di kawasan-kawasan yang terjejas banjir akan menerima pengecualian itu secara automatik bagi tempoh satu bulan yang tidak memerlukan mereka untuk mengisi atau menghantar sebarang borang kepada syarikat pembekal air itu.
“Sepanjang tempoh pengecualian bayaran ini, bil air bulanan akan terus dikeluarkan oleh Air Selangor. Namun begitu, para pelanggan yang layak menerima pengecualian bayaran bil air tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi tempoh yang telah dinyatakan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Air Selangor memahami kesulitan yang dialami oleh para pelanggan yang terkesan dengan insiden banjir dan berharap bantuan itu akan sedikit sebanyak meringankan beban mereka.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.