Mufti Perlis mengingatkan umat Islam dengan sebuah hadis yang memberikan amaran berhubung penebangan hutan ketika aktiviti pembalakan haram menjadi tumpuan berikutan bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri sehingga mengorbankan 48 nyawa selain menyebabkan kerugian berbilion ringgit.
Mohd Asri Zainul Abidin memetik hadis di mana Nabi Muhammad berkata, “Sesiapa yang memotong pokok bidara maka Allah merendahkan (menekan) kepalanya dalam neraka.”
Spesies pokok bidara terkenal tumbuh di semenanjung Arab dan kawasan padang pasir itu sering disebut dalam kitab suci pelbagai agama di mana hampir keseluruhan bahagian pokok itu mempunyai manfaat termasuk digunakan untuk berteduh bagi pengembara.
Asri berkata pokok bidara disebut oleh Muhammad kerana ia memberi perlindungan kepada manusia dan haiwan.
“Pokok bidara dapat tumbuh di padang pasir. Ia mampu menghadapi cuaca kering dan panas. Maka di bawah pohonnya manusia berteduh. Buahnya pula boleh dimakan apabila memerlukan. Memelihara pohon bidara yang berfungsi, dengan fungsi tersebut adalah menjaga keseimbangan dan peranan antara ciptaan Allah. Merosakkannya, adalah merosakkan anasir penting dalam keselamatan hidup manusia,” katanya.
“Maka, sesiapa yang memusnahkan tempat perlindungan panas manusia dan haiwan ketika sangat memerlukan tanpa alasan yang benar pastilah termasuk dalam kalangan mereka yang sangat jahat.”
Beliau berkata berdasarkan logik ini, amaran tersebut turut terpakai kepada mereka yang menebang pokok yang boleh menyebabkan bencana alam dan memusnahkan kehidupan dan harta benda orang ramai.
“Jika memotong pokok bidara disembamkan kepala ke dalam neraka, bayangkan jika memotong balak sehingga ribuan manusia menderita dan berlaku kematian!” kata Asri yang menerbitkan komentarnya di laman sesawang rasmi beliau.
Respons beliau itu tampil ketika kebimbangan semakin memuncak mengenai banjir besar di Pahang pada musim monsun ketika ini berlaku akibat aktiviti pembalakan yang berleluasa di negeri itu.
Selain itu, kayu-kayan yang tekumpul di Sungai Telemong, Bentong adalah berpunca dari aktiviti penerokaan tanah bagi perladangan haram durian Musang King di kawasan tersebut.
Pada Isnin, Jabatan Perhutanan Pahang mengeluarkan perintah pemberhentian sementara kerja-kerja pembalakan di negeri tersebut.
Hujan lebat selama beberapa hari bermula 18 Disember lalu menyebabkan banjir besar di beberapa negeri di semenanjung termasuk Pahang.
Selain Pahang, Selangor turut terjejas akibat banjir di mana beberapa kawasan seperti Shah Alam dan Hulu Langat menjadi antara yang paling teruk.
Setakat ini 48 terkorban akibat banjir, sementara puluhan ribu lagi terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas rumah mereka ditenggelami air.
Asri berkata pembalakan berleluasa adalah satu jenayah baik di “dunia dan akhirat”.
“Tanpa mengira siapa pun pelakunya, sama ada golongan bawahan atau bangsawan, ahli politik atau ahli peniagaan, ke atas mereka laknat rakyat.
“Amaran Nabi bahawa laknat itu akan menimpa mereka nanti. Mereka akan menemui padah itu dalam kehidupan dunia dan akhirat.”