Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau “Jho Low”, bapa beliau Larry Low Hock Peng dan ibunya Goh Gaik Ewe telah memasukkan kehadiran dalam kes saman US$3.7837 bilion yang difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap mereka.
Memorandum Kehadiran itu difailkan oleh firma guaman, Tetuan Valen, Oh & Partners yang mewakili ketiga-tiga defendan pada 29 Disember 2021.
Peguam K Siva Kumar yang mewakili 1MDB berkata mahkamah mengarahkan Jho Low dan kedua ibu bapanya memfailkan pernyataan pembelaan pada atau sebelum 26 Januari ini selain menetapkan 9 Februari untuk pengurusan kes.
“Bagaimanapun, tiga defendan lain iaitu kakak Jho Low, May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong masih belum memasukkan kehadiran dalam kes saman itu,” kata peguam itu ketika dihubungi pemberita melalui aplikasi WhatsApp selepas pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Nor Afidah Idris secara dalam talian hari ini.
Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap keenam-enam defendan itu.
Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta AS$325 juta dari Jho Low dan ayahnya.
1MDB Global Investments Limited pula menuntut US$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta US$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.
Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta dari May Lin dan Jho Low serta AS$1.695 juta dari Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta dari Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.