- Iklan -
Berita

Kabinet Sarawak masih kurang wakil Iban, kata PRS

PRS menyambut baik pelantikan empat ahlinya sebagai anggota Kabinet negeri namun berkata pembahagian portfolio harus mencerminkan komposisi GPS.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg (tengah) bersama pemimpin Gabungan Parti Sarawak di sebuah acara di Kuching malam tadi. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg (tengah) bersama pemimpin Gabungan Parti Sarawak di sebuah acara di Kuching malam tadi. Gambar: Bernama

Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Joseph Salang menyambut baik pelantikan empat ahli partinya dalam Kabinet baru negeri itu namun berkata portfolio menteri harus mencerminkan komposisi parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata Kabinet negeri masih belum menunjukkan penglibatan perwakilan masyarakat Iban yang lebih kuat.

“Kami harap ketua menteri pertimbang untuk agih portfolio mengikut sumbangan parti,” katanya malam tadi.

Beliau turut menyuarakan harapan agar Abang Johari Openg memperuntukkan portfolio yang wajar untuk PRS dan mempertimbangkan pandangan setiap parti komponen dalam gabungan itu.

“Ia sangat selari dengan apa yang kami cadangkan,” katanya berhubung barisan anggota Kabinet.

“Bagaimanapun, sekiranya kami dapat kemukakan pandangan kami, mungkin dari sudut perwakilan boleh ditambah baik lagi.”

Beliau turut menambah bahawa Kabinet itu masih baru dalam memulakan penggal pentadbirannya, tetapi yakin Abang Johari akan memperhalusi Kabinetnya selepas ini.

“Apabila penjajaran semula berlaku, diharapkan PRS akan diberi perwakilan yang lebih baik,” kata Salang.

Barisan Kabinet baru negeri itu terdiri dari 10 menteri dan 26 menteri muda.

Abang Johari sendiri turut memegang beberapa portfolio sebagai menteri kewangan dan ekonomi baru, menteri sumber asli dan pembangunan bandar serta menteri tenaga dan alam sekitar.

PBB memegang portfolio paling banyak dengan lapan menteri, manakala SUPP dan PRS masing-masing memegang dua dan satu portfolio.

Satu-satunya muka baru atau wakil Dayak Iban dari PRS yang dilantik ialah Adun Kakus John Sikie Tayai, yang kini menjadi menteri di Jabatan Ketua Menteri.

Dari 26 menteri muda, 17 daripadanya adalah ahli PBB dan empat dari PRS.

Empat Adun PRS dilantik dalam kabinet sebagai menteri muda termasuk seorang muka baru, Adun Samalaju Majang Anak Renggi, sebagai menteri muda pembangunan infrastruktur dan pelabuhan.

Manakala Adun Kakus John Sikie Tayai dilantik sebagai menteri di Jabatan Ketua Menteri.

Salang juga bercakap tentang kekecewaannya kerana gagal menghubungi ketua menteri sejurus selepas pilihan raya.

“Dengan semua ucapan tahniah bertalu, sangat sukar, dan kami sudah tentu sangat berharap kami juga dapat berkongsi trofi sebaik sahaja Kabinet dibentuk.

“Tetapi malangnya, beberapa hari selepas pilihan raya, kami tidak berjaya berkomunikasi dan kerana itulah permohonan dan mesej kami tidak dapat sampai kepada anda,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.