Di ladang cilinya yang terletak di Kampung Sri Tanjung, Ahmad Irham Mohd Noor duduk sambil merenung deretan tanamannya.
Dahulu, pemandangan itu membuatnya gembira dan puas, namun kini, pemandangan di ladangnya hanya membawa kesedihan dan putus asa.
Tanaman yang tumbuh subur di ladang kecilnya kini layu dan bertukar coklat, diselaputi lumpur akibat banjir besar yang melanda beberapa kawasan di Dengkil dua minggu lalu.
Dalam tempoh dua minggu sahaja, tanamannya yang diusahakannya musnah sepenuhnya sedangkan waktu menuai sudah dijadualkan pada penghujung bulan lalu.
Kini, Irham hanya boleh duduk mengira kerugian yang dialaminya sebelum membersihkan kawasan sekitar ladangnya itu selepas air banjir semakin surut.
“Saya datang ke ladang ini setiap hari, namun saya buntu juga kerana saya tak tahu di mana nak mula atau apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.
“Semuanya masih dalam proses pembersihan dan pemulihan.”
Namun, dia sering termangu mengenangkan usahanya selama ini musnah.
Ketika ini, tumpuannya hanyalah untuk menyelamatkan polibeg yang masih mempunyai pokok.
Polibeg adalah bekas plastik nipis yang memiliki lubang bagi menanam tanaman seperti pasu tradisional.
Sebelum banjir melanda, Irham mempunyai 2,500 polibeg yang mengandungi sejumlah 5,000 pokok cili.
Walaupun ada daripada tanamannya yang tidak terjejas kerana jaring pelindung digunakan, namun kebanyakannya dihanyutkan arus deras banjir.
Selepas mengumpul baki tanamannya yang masih ada, Irham menumpukan kerja untuk membersihkan sabut kelapa hancur yang ada dalam polibegnya dengan harapan dapat digunakan untuk musim depan.
Dia perlu menggunakan 500 guni sabut kelapa hancur untuk menanam pokok baru.
“Membeli lebih banyak barang memerlukan wang yang besar, jadi saya cuba pulihara apa yang ada dengan membuang lumpur yang melekat pada polibeg dan bahagian atas coco peat (sabut kelapa hancur),” katanya.
Kemudian, dia akan keringkan semua yang sudah dipulihara dan dibersihkan.
Jika usahanya ini tidak berjaya, maka Irham tidak ada pilihan selain menggunakan wang simpanannya dan memulakan semula penanaman cilinya dari awal semula.
Untuk memulakan penanaman semula, ia akan mengambil masa lebih dari sebulan.
Irham juga menganggarkan sekurang-kurangnya empat bulan diperlukannya untuk membina semula ladang dan menanam tanaman seterusnya.
Sambil memandang baki tanamannya yang musnah, dia berkata tanamannya itu boleh diselamatkan jika ia hanya ditenggelami air selama dua hari.
Namun hujan lebat yang turun telah menyebabkan tanamannya ditenggelami selama hampir seminggu – satu tempoh yang terlalu lama untuk tanaman cilinya.
Irham adalah salah seorang petani yang terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda beberapa negeri pada 18 Disember lalu.
Pada 31 Disember, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan yang boleh mencecah RM10,000 akan diberikan kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir.
Beliau turut mengumumkan Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 juga akan diberikan kepada isi rumah yang terjejas selain bentuk bantuan lain termasuk baucar untuk peralatan elektrik dan bantuan tunai.
Sementara itu, mangsa yang rumahnya mengalami kemusnahan sepenuhnya juga layak menerima bantuan sehingga RM61,000.
Peruntukan turut disediakan untuk membaiki kenderaan yang rosak akibat banjir tersebut.
Bagaimanapun, setakat ini tiada peruntukan diumumkan untuk petani yang menanggung kerugian besar seperti Irham.
Irham berkata beliau memerlukan sekurang-kurangnya RM15,000 sebagai modal memulakan tanaman semula, ia termasuk kos pembelian baja, benih dan peralatan pertanian.
“Buat masa ini, saya perlu menggunakan wang simpanan sendiri untuk menampung kerugian,” katanya.
“Nasib baik saya ada simpanan. Saya tidak tahu apa yang saya akan lakukan jika saya tidak mempunyai simpanan.”
Beliau juga menerima bantuan daripada rakan-rakan dan orang yang tahu kisahnya, manakala wakil dari Jabatan Pertanian Sepang telah melawat untuk membantu menganggarkan kerugian dan memeriksa kualiti sabut kelapanya.
“Saya bertanya sama ada saya boleh dapatkan bantuan kewangan untuk tanaman saya, tetapi mereka kata buat masa ini masih belum ada bantuan pertanian diberikan kepada petani yang terjejas banjir,” katanya.
Dengan kerugian yang jauh melebihi pengiraan awalnya sebanyak RM100,000, Irham terpaksa menanggungnya sendirian.
Dia bekerja keras untuk membina ladangnya dan rumah kecil yang mempunyai segala keperluan rumah termasuk mesin basuh, peti sejuk dan katil.
Pada hujung minggu dan cuti sekolah, isteri dan dua anaknya akan datang dan tinggal bersamanya, dan mereka akan menikmati masa bersama sebagai sebuah keluarga.
Namun kini, semuanya sudah tidak ada.
Irham juga tidak layak menerima bantuan tunai kerajaan kerana rumahnya dianggap rumah ladang.
“Ketika mula-mula melihat keadaan ladang, saya hampir menangis,” katanya.
“Tetapi saya tetap kuatkan hati. Saya berbincang dengan isteri saya, dan kami bersetuju untuk pulihkan keadaan ini secara perlahan-lahan.”
Selain perlu pulih dari sudut kewangan, Irham juga perlu menangani pemulihan mentalnya akibat banjir.
Setiap kali hujan, hatinya sebak dan risau jika gelombang kedua banjir yang akan menyebabkan lebih banyak kerosakan pada ladang kecilnya.
Beberapa hari lalu, hujan turun dengan lebat sehingga air di sungai berhampiran mula naik semula dan Irham tidak tenang sehingga hujan reda dan paras air kembali surut.
“Jika banjir terjadi sekali lagi, ia akan hancurkan saya selepas sudah bersihkan semuanya,” katanya.
Irham pernah menjadi jurugambar sebelum ini, namun kini ladang cilinya menjadi satu-satunya sumber pendapatan.
“Saya perlu menanggung sendiri semua kerugian itu,” katanya.
“Saya hanya berharap kerajaan dapat melihat penderitaan kami dan beri bantuan kepada petani yang terjejas akibat banjir.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.