- Iklan -
Berita

Pekerja mohon semakan kehakiman terhadap kontrak Supermax bekal PPE kepada UK

Peguam memetik kebimbangan terhadap kewajaran keputusan kerajaan Britain tersebut selepas syarikat itu dikaitkan dengan dakwaan amalan buruh paksa.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja asing beratur untuk menjalani ujian saringan Covid-19.  Syarikat pembuat sarung tangan Supermax berkata ia akan memperkenalkan dasar pengurusan pekerja asing baru dan menambah baik dasar sumber manusia sebagai tindak balas kepada dakwaan itu.
Pekerja asing beratur untuk menjalani ujian saringan Covid-19. Syarikat pembuat sarung tangan Supermax berkata ia akan memperkenalkan dasar pengurusan pekerja asing baru dan menambah baik dasar sumber manusia sebagai tindak balas kepada dakwaan itu.
Pekerja syarikat pembuatan sarung tangan Supermax Corp akan memohon semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan Britain untuk meluluskan syarikat itu sebagai pembekal kepada Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) susulan dakwaan mengamalkan buruh paksa, kata peguam.
Langkah itu dibuat selepas agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CDC) pada Oktober menyekat import produk Supermax atas dakwaan salah guna khidmat buruh.
Selain AS, Kanada juga turut menangguhkan kontrak dengan Supermax berikutan kebimbangan yang sama.
Agensi guaman yang berpangkalan di London, Wilson Solicitors berkata ia telah memohon rantaian bekalan NHS Britain untuk mempertimbangkan semula keputusan badan itu pada Disember lalu yang memutuskan untuk memberikan kontrak membekalkan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Supermax.
Dalam permohonannya, ia turut memetik kebimbangan terhadap kewajaran keputusan kerajaan Britain tersebut selepas syarikat itu dikaitkan dengan dakwaan amalan buruh paksa.
“Undang-undang jelas meletakkan syarat bahawa perlu ada pengesahan sebenar daripada pembekal sebelum ia masuk ke peringkat pemberian kontrak, namun masih tidak pasti apakah syarat ini telah dipenuhi (Supermax),” kata Nusrat Uddin, peguam utama firma guaman itu dalam satu kenyataan.
Permohonan semakan kehakiman dijangka akan difailkan di Mahkamah Tinggi London pada Jumaat.
Supermax dan Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial Britain masih tidak memberikan respons terhadap permohonan semakan kehakiman tersebut.
Dalam pada itu, Supermax berkata ia akan memperkenalkan dasar pengurusan pekerja asing yang baru minggu ini dan menambah baik dasar-dasar berhubung sumber manusianya sebagai respons terhadap dakwaan tersebut.
Syarikat pembekal produk berasaskan getah itu membekalkan jutaan sarung tangan kepada NHS di bawah kontrak terdahulu.
Ia merupakan antara lima syarikat pembuat sarung tangan getah Malaysia yang berdepan sekatan import AS dalam tempoh dua tahun lalu kerana disyaki mengamalkan buruh paksa.
Pada November, kerajaan Britain berkata ia telah membuat pesanan bekalan sebanyak 135 juta sarung tangan dengan kos sebanyak £7.9 juta.