- Iklan -
Berita

Hamas tahan suspek pembunuhan seorang ahli akademik pada 2018

Menurut jurucakap Hamas, suspek mengaku telah direkrut oleh agensi perisikan Israel, Mossad.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli akademik Palestin Fadi AL-Batsh ditembak mati berdekatan rumahnya di Kuala Lumpur. Gambar: Reuters
Ahli akademik Palestin Fadi AL-Batsh ditembak mati berdekatan rumahnya di Kuala Lumpur. Gambar: Reuters

Seorang suspek ditahan berhubung pembunuhan seorang ahli akademik warga Palestin di Malaysia pada 2018, lapor Agensi Anadolu

Penahanan suspek itu diumumkan kementerian dalam negeri kerajaan Hamas pada Ahad.

Pada April 2018, Fadi al-Batsh, seorang jurutera penyelidik dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas telah ditembak mati oleh dua orang lelaki bersenjata api berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur.

Keluarga al-Batsh mendakwa agensi perisik Israel Mossad bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Israel ketika itu Avigdor Lieberman menafikan penglibatan Israel dalam pembunuhan tersebut.

Jurucakap kementerian dalam negeri Hamas Iyad al-Buzom memberitahu sidang media di Gaza bahawa suspek telah mengaku bahawa dia direkrut oleh Mossad.

Media Israel menggambarkan al-Batsh sebagai “seorang jurutera Hamas dan pakar dalam pembuatan dron”, membayangkan kemungkinan bahawa Mossad memainkan peranan utama berhubung kematiannya.

Israel dilihat dan dipercayai secara meluas bertanggungjawab dalam pembunuhan beberapa aktivis Palestin sebelum ini, kebanyakan pembunuhan berlaku di luar negara.

Pada 1997, ejen Mossad turut direkodkan telah mencuba untuk membunuh ketua strategi politik Hamas Khaled Meshaal di Jordan dengan menyembur racun ke telinganya, namun percubaan tersebut gagal.

Mossad juga dipercayai memainkan peranan dalam pembunuhan komander tertinggi Hamas Mahmud al-Mabhuh di sebuah hotel di Dubai pada 2010.

Israel tidak pernah mengesahkan atau menafikan penglibatannya dalam pembunuhan Mabhuh.