- Iklan -
Berita

Pelajar bersemangat kembali ke sekolah bagi sesi penggal ketiga hari ini

Ibu bapa memberikan reaksi positif terhadap pembelajaran secara bersemuka berbanding kelas yang dijalankan secara dalam talian sebelum ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Murid sekolah mengimbas suhu di pintu pagar sekolah sebelum masuk ke kelas. Gambar: Bernama
Murid sekolah mengimbas suhu di pintu pagar sekolah sebelum masuk ke kelas. Gambar: Bernama

Sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 bagi 12 negeri Kumpulan B bermula hari ini dengan para pelajar bersemangat untuk kembali ke sekolah untuk mengikuti pembelajaran secara fizikal di dalam kelas selain bertemu guru dan rakan-rakan.

Ibu bapa juga memberikan reaksi positif terhadap pembelajaran dan kelas secara bersemuka berbanding kelas yang dijalankan secara dalam talian sebelum ini.

Sekolah Kumpulan B ialah sekolah di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Selangor.

Tinjauan Bernama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maxwell di ibu negara hari ini mendapati rata-rata ibu bapa bersyukur dengan pembukaan sekolah kali ini selepas melihat anak-anak mereka melalui tempoh sukar sepanjang belajar secara dalam talian.

Bagi Mathibathanan Ramakrishnan, 57, beliau secara peribadi berasakan bahawa manfaat pembelajaran secara fizikal adalah lebih besar berbanding kelas secara dalam talian terutamanya dalam aspek melibatkan kesihatan mental pelajar.

Di sekolah, anak saya dapat bersosial serta berinteraksi dengan rakan dan guru. Pembelajaran juga lebih efisien sebab mudah untuk bertanya…bagi saya, banyak lagi masalah kelas secara online ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bernama difahamkan SMK Maxwell yang terjejas ketika banjir melanda ibu negara bulan lepas dapat menerima kehadiran pelajar-pelajarnya setelah sekolah berkenaan dibersihkan secara gotong-royong oleh ibu bapa yang juga alumni sekolah berkenaan.

Di Selangor, Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin meluangkan masa lebih satu jam untuk meninjau pengoperasian Sekolah Kebangsaan (SK) Meru di Kapar, Klang.

Bapa pasangan kembar murid perempuan prasekolah di SK Meru, Zainal Sadari, 38, berkata kedua-dua anaknya Ariana Nur Iman Tihani dan Althia Nur Iman Tihani, sangat teruja untuk ke sekolah pagi ini memandangkan sudah lama tidak bersemuka dengan rakan-rakan.

Di Perak, tinjauan di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang di Ipoh mendapati ibu bapa menghantar anak ke sekolah menggunakan konsep “pandu lalu” yang diperkenalkan sekolah sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.